Shahril Anggap Pengeluaran KWSP Dan Moratorium Bank Permulaan Bagus Tetapi…

Shahril Anggap Pengeluaran KWSP Dan Moratorium Bank Permulaan Bagus Tetapi…

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata rakyat menanti dengan semangat optimis bahawa kerajaan mendengar segala keluhan dan maklumbalas pelaksanaan ke arah satu pelan tindakan menyeluruh yang amat-amat diperlukan saat ini ekoran wabak COVID-19.

“Pada hemat saya kegawatan 1997/98 tidak sedrastik atau mendadak apa yang mungkin kita hadapi sekarang. Tetapi jika kerajaan bertindak tangkas, berani dan luar kotak lazim, insya-Allah kita akan melaluinya bersama dengan semangat Malaysia yang satu,” katanya dalam kenyataan berkaitan pengumuman langkah kerajaan semalam.
Dilaporkan, semalam kerajaan telah umumkan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat susulan penularan wabak COVID-19. Ini termasuk membenarkan pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 KWSP berjumlah maksimum RM500 setiap bulan bagi tempoh setahun.

“Sebagai permulaan, langkah ini adalah tindakan yang baik bagi membantu golongan rakyat yang terkesan akibat hilang pendapatan atau berkurangan disebabkan COVID-19.”

Walau bagaimanapun, katanya terdapat beberapa pertimbangan yang wajar diberikan perhatian dalam pelaksanaannya seperti:-

(i) Tempoh permohonan bermula 1 April dilihat terlalu lambat dalam kepantasan krisis Covid-19 ini beri kesan kepada rakyat. Ini kerana pihak KWSP telah memaklumkan bahawa pemindahan pengeluaran kepada akaun bank pemohon hanya akan bermula pada bulan Mei sedangkan pada masa ini pun telah ramai hilang pekerjaan atau mata pencarian terutama di sektor aviasi, pelancongan, minyak & gas dan lain-lain.
Akhirnya pemohon perlu tunggu lebih dari sebulan – selepas mula Ramadan – sebelum dapat terima dan menggunakan wang tersebut. Terlalu lambat.
Maka, Kerajaan perlu melihat semula proses ini dan sebaiknya memudahkan urusan pengeluaran wang tersebut.

(ii) Tidak semua golongan yang memerlukan bantuan mendesak ada caruman KWSP, terutamanya golongan B40 dan luar bandar. Tiada pengumuman bantuan secara khusus kepada golongan ini.

(iii) Tiada guna jika pengeluaran KWSP habis dibelanja untuk bayar hutang sedangkan pendapatan bulanan sudah sangkut. “Cash in, cash out”. Kita sedia maklum moratorium hutang bank yang disuarakan sebelum ini sudah mula beroperasi tetapi hakikatnya proses itu masih boleh dipermudahkan. Sepertimana disebut Khairul Azwan Harun masih ramai golongan B40 mendapat asakan dan desakan membayar hutang bank. Perlu ada dasar menyeluruh yang kreatif untuk memberi moratorium automatik kepada golongan tertentu.

Sehubungan itu, jelas Shahril, beliau yakin bahawa kerajaan maklum berkaitan perkara-perkara ini.

“Kredit kepada kerajaan, saya yakin mereka maklum perkara-perkara ini, dan telah pun mengumumkan bahawa akan ada pakej lebih lengkap pada 30 Mac kelak. Dan kita rakyat Malaysia juga perlu iktiraf bahawa cabaran sekarang adalah senario sangat luar biasa,” katanya lagi. – UMNO Online

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )