KAFA langgar arahan FIFA, optimis CAS bantu

KAFA langgar arahan FIFA, optimis CAS bantu

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) optimis Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan memberi ‘talian hayat’ kepada persatuan itu membabitkan isu tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus berjumlah RM629,620.28.

Meskipun gagal melangsaikan tunggakan terbabit dalam tempoh yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berakhir Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan perkembangan terbaharu daripada CAS tampak memberi sedikit kelegaan kepada pihaknya.

“Kita sudah melengkapkan segala proses dokumentasi yang diperlukan dan kita sudah mendapat maklum balas bahawa CAS pun sudah menerima dokumen yang kita kemukakan. Jadi di sini, ada ruang untuk penangguhan pembayaran seperti yang kita hajatkan.

“Kita masih ada peluang dan masa kalau CAS menerima rayuan kita. Selain itu, kita juga mencari alternatif lain di mana kita masih cuba berusaha untuk mengadakan rundingan lagi dengan pihak Cassio,” katanya.

Justeru, Muzakkir menyatakan tabung yang ditubuhkan untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan akan tetap diteruskan dan mengharapkan penyokong The Red Warriors yang berkemampuan turut menyumbang.

“Jika tabung ini disertai dengan jumlah yang ramai, sudah pasti ia akan berjaya. Bayangkan setiap seorang menderma RM10 dan mencecah ratusan ribu penderma, maka ia dapat mencapai objektifnya.

“Semua tuntutan ini berlaku semasa pengurusan terdahulu dan sejak kita memegang pengurusan bermula Jun lalu, banyak usaha sudah dilakukan termasuk melunaskan hutang yang membolehkan kita mendapat lesen Liga Perdana dan tidak dikenakan pemotongan mata.

“Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa lebih-lebih lagi dalam hal ini. Apa yang kami lakukan ini kerana masa terhad dan pergerakan terbatas selain sumber kewangan tidak dapat dijana kerana terkesan dengan COVID-19,” katanya.

Dalam masa sama, Muzakkir memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi meminta bantuan kerajaan negeri supaya dapat ‘campur tangan’ dalam menyelesaikan masalah terbabit.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )