
SELANGOR TELITI BANTUAN TAMBAHAN KEPADA MANGSA BANJIR TERMENUNG
KUALA SELANGOR,. Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti bantuan tambahan kepada mangsa banjir termenung di beberapa kawasan di Kuala Selangor bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha pemulihan pascabanjir, khususnya di Kampung Parit Mahang, Kampung Ijok dan Kampung Bukit Hijau.
Beliau berkata keadaan banjir di kawasan berkenaan semakin surut dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.
“Kita akan bincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Rabu ini mengenai bentuk sokongan atau bantuan tambahan yang boleh diberikan kepada mangsa.
“Ini khususnya bagi penduduk yang terpaksa bertahan akibat banjir termenung lebih tiga minggu. Kita akan teliti penyelesaian bagi membantu mereka minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Wira Air 2026 di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya, di sini hari ini.
Terdahulu, Amirudin menyertai gotong-royong pascabanjir bersama-sama agensi kerajaan negeri dan sukarelawan bagi membersihkan kediaman penduduk terjejas di Kampung Parit Mahang.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam bagi mengenal pasti langkah penyelesaian segera terhadap masalah banjir berkenaan.
“Ada beberapa cadangan atau pilihan penyelesaian dan kita akan teliti untuk tindakan segera, khususnya di kawasan terjejas banjir di daerah ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata tiada gangguan bekalan air kritikal akibat pencemaran sungai dilaporkan di Selangor setakat ini.
Beliau berkata gangguan bekalan air yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada insiden paip pecah dan kerja penyelenggaraan, namun jumlah kes semakin berkurangan.
“Tahun lepas kita tidak merekodkan gangguan kritikal dan diharap keadaan itu berterusan tahun ini. Walaupun ada amaran tahap kuning, ia tidak sampai ke tahap merah kerana kita berjaya menyelesaikannya,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata purata penggunaan air penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun lepas ialah kira-kira 240 liter per kapita sehari (LCD), melebihi sasaran nasional 180 LCD menjelang 2030.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penggunaan air secara berhemah dan mengamalkan penjimatan secara konsisten.
“Matlamatnya bukan sekadar mencapai sasaran penggunaan, malah memastikan sumber air negara terus terpelihara untuk generasi akan datang. Tutup paip jika tidak digunakan, gunakan air sekadar yang diperlukan dan elakkan pembaziran,” katanya.
— BERNAMA
