“Raikan Perpaduan” tema utama, Tuah maskot rasmi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027

“Raikan Perpaduan” tema utama, Tuah maskot rasmi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027

PUTRAJAYA,. “Raikan Perpaduan” dipilih sebagai tema utama Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata tema temasya sukan itu menjadi cerminan semangat perpaduan yang berdaya tahan dan memiliki kesinambungan masa depan sukan rantau ini.

“Tema ini juga menjadi seruan dan pencetus semangat kepada semua atlet untuk melangkaui had kemampuan mereka dalam mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran logo, maskot serta tema rasmi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq pada sidang media berkata maskot rasmi dikenali sebagai “Tuah” pula mencerminkan semangat kebersamaan dengan reka bentuk diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, yakin dan mudah didekati berbanding elemen haiwan sebelum ini.

Beliau berkata maskot itu juga menggabungkan warna Jalur Gemilang sekali gus menyemai semangat perpaduan serta menjadi lambang kebanggaan dalam kalangan atlet dan rakyat Malaysia.

Dr Mohammed Taufiq juga berharap agar nama maskot rasmi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 itu bakal membawa tuah kepada negara, seterusnya merealisasikan impian bergelar juara keseluruhan di laman sendiri.

Pada masa sama, beliau optimis persediaan Malaysia selaku tuan rumah, khususnya berkaitan fasiliti dalam temasya sukan dwitahunan itu yang melibatkan empat kluster, iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur berjalan lancar.

“Setakat ini tiada isu berkaitan fasiliti dengan sekarang ini kita lebih tertumpu kepada hal teknikal yang sedang dipastikan semuanya mengikut garis masa telah ditetapkan,” katanya.

Selain itu, Dr Mohammed Taufiq juga yakin sasaran 70 peratus atlet negara menamatkan saingan di podium pada Sukan SEA 2027 seperti yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) mampu dicapai.

Sementara itu, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dalam kenyataan memaklumkan logo rasmi sukan itu direka dengan menggambarkan aspirasi Malaysia menyatukan ASEAN melalui semangat kesukanan.

Setiap elemen dalam logo itu mempunyai simbolik tersendiri dan saling melengkapi bagi membentuk sebuah identiti visual moden, dinamik dan mudah dikenali pada peringkat antarabangsa.

Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung pada dari 18 hingga 29 September manakala Sukan Para ASEAN 2027 pada 17 hingga 23 Oktober.

SUMBER;

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This