Polis bantuan perlu pelihara imej agensi, PDRM

Polis bantuan perlu pelihara imej agensi, PDRM

KUALA LUMPUR,. Polis bantuan harus mengekalkan integriti dan profesionalisme dalam setiap tindakan bagi memelihara imej agensi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pecegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata integriti dan disiplin merupakan tunjang utama serta tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak mahu ada anggota polis bantuan bermasalah, tidak berdisiplin serta terlibat jenayah kerana kesannya bukan sahaja mencemar imej agensi tetapi juga PDRM.

“Sentiasa kekalkan integriti dan profesionalisme serta elak sebarang salah guna kuasa yang boleh menjejaskan imej pasukan dan agensi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 9/2025 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata JPJKK akan memastikan polis bantuan bertugas dengan baik melalui pemantauan dan penyeliaan di setiap negeri untuk memastikan imej PDRM sentiasa terpelihara.

Beliau berkata walaupun latihan itu singkat berbanding Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel yang mengambil masa enam bulan, beliau yakin pelatih dapat menimba ilmu dan kemahiran pembentukan asas sebagai polis bantuan.

Nik Ros Azhan berkata kursus asas itu antara syarat utama pelantikan sebagai anggota polis bantuan dan penting untuk membolehkan mereka bertugas secara profesional.

“Polis bantuan rakan strategik utama PDRM dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di premis selain memperkukuh rangkaian keselamatan komuniti dan kawalan jenayah untuk sektor awam dan swasta.

“Dalam era cabaran keselamatan yang semakin kompleks, polis bantuan bukan sekadar penguat kuasa dalaman malah mereka merupakan mata dan telinga PDRM,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 186 pelatih terdiri daripada lapan pegawai kanan dan 178 pegawai rendah polis bantuan menamatkan latihan sembilan minggu bermula 21 September dengan kursus melibatkan 23 agensi daripada sektor awam dan swasta.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This