Penguatkuasa DBKL gunakan kamera badan bagi tingkat integriti – Nor Hisham
KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah dan memperluas penggunaan kamera badan, bagi meningkatkan integriti dan mengekang salah laku anggotanya ketika berurusan dengan orang ramai.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, sebanyak lima kamera badan telah diguna pakai pada masa ini sebagai perintis dan akan memperluaskan penggunaannya pada masa akan datang.
“Kita dah gunakan lima, dan akan menambah kepada 100 kamera badan pada akhir tahun ini, sebelum memperluaskan lagi penggunaan alat ini pada tahun depan,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Penguatkuasa ke-51 di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, penggunaan kamera badan juga diharap dapat meningkatkan kecekapan tugasan dan membantu menangkis salah anggap, kepada anggota penguatkuasa.
Sementara itu, Nor Hisham berkata DBKL juga telah mengenal pasti 50 kawasan panas banjir kilat di ibu negara dan mengambil inisiatif untuk meletakkan penanda aras air di kawasan berkenaan, dalam masa terdekat.
“Kebanyakan adalah kawasan yang rendah, antaranya Kampung Periuk di Jalan Raja Alang dan Lebuh Ampang,” katanya.
Beliau berkata, penanda tersebut diletakkan sebagai makluman dan peringatan awal kepada orang ramai dan penduduk sekitar kawasan terbabit, untuk membuat persediaan.
— BERNAMA