Dr Mahathir, empat lagi pemimpin Bersatu bukan dipecat tetapi terhenti keahlian

KUALA LUMPUR,. Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan bekas Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu tidak dipecat daripada parti itu, sebaliknya terhenti keahlian mereka kerana melanggar perlembagaan parti.

Hamzah berkata keahlian Dr Mahathir dan empat lagi iaitu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik, Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah terhenti serta merta selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

“Saya rasa sedih apabila Tun Dr Mahathir serta empat lagi ahli Parlimen Bersatu mengambil keputusan tidak bersama dengan blok kerajaan semasa sidang Parlimen 18 Mei.

“Perkara ini bukan hanya dinyatakan dalam surat permohonan mereka sendiri tetapi juga dizahirkan dengan duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan semasa sidang Parlimen tersebut,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Bersatu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya mengikut perlembagaan parti, keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta mengikut fasal 10.2.2 iaitu mengisytiharkan keluar daripada parti dan fasal 10.2.3 menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini

Hamzah berkata selain itu banyak lagi aduan salah laku yang diterima berkaitan kelima-lima pemimpin berkenaan termasuk apabila Dr Mahathir mengumumkan untuk terus bersama-sama Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk di bawah kepimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selain itu Tun Dr Mahatihir juga pada 4 Mei telah membuat kenyataan-kenyataan bersama dengan ketua-ketua parti PH mendesak supaya sidang Parlimen dilanjutkan, malah beliau juga telahpun mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang telah dilantik dengan sahnya oleh Yang di-Pertuan Agong,” kata Hamzah.

Katanya, Dr Mahathir juga mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin PH dengan membuat pengumuman untuk terus berusaha menjatuhkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Sehubungan itu, Hamzah berkata Dr Mahathir dan empat pemimpin Bersatu itu tidak perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk tindakan susulan

Beliau berkata ini kerana Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Tan Sri Megat Najimuddin Megat Khas telah memaklumkan bahawa semua kesalahan itu tidak lagi relevan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin kerana keahlian mereka sudah terhenti menurut Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 berkenaan.

Notis pemberitahuan kedudukan mereka juga telah dikeluarkan kepada kelima-lima yang terlibat bagi memaklumkan tentang kedudukan dalam parti, katanya.

Mengulas tentang kedudukan Datuk Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung parti itu, Hamzah berkata pemimpin itu juga telahpun dihentikan serta merta pada 18 Mac melalui satu notis yang ditandatangani sendiri oleh Muhyiddin selaku pemangku pengerusi dan presiden Bersatu.

“Pada 26 Mac, saya telah dilantik sebagai setiausaha agung yang baharu menggantikan Marzuki dan sehubungan itu semua kenyataan dan arahan dikeluarkan Marzuki yang mendakwa masih lagi sebagai setiausaha agung Bersatu adalah tidak sah dan merupakan salah guna kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah menegaskan surat pemecatan Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya yang ditandatangan oleh Marzuki semalam adalah tidak sah.

Dalam satu surat yang tular di media sosial, Marzuki mengeluarkan surat memecat Muhamad Suhaimi kerana melanggar etika kerja dan perlembagaan parti

Di dalam surat itu, dinyatakan Suhaimi dipecat kerana membuat keputusan berhubung pentadbiran parti serta mengeluarkan surat pemecatan keahlian tanpa pengetahuan dan tidak merujuk kepada setiausaha agung, selaku Ketua Pentadbir Ibu Pejabat parti.

“Pelantikan setiausaha kerja dilakukan oleh presiden parti merangkap (pemangku) pengerusi Bersatu dan hanya beliau sahaja yang boleh memecatnya,” kata Hamzah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )