Mydin lancar kempen MYDIN Prihatin Girang Syawal Tiba
SUBANG JAYA,. Rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) terus menyantuni golongan memerlukan melalui kempen MYDIN Prihatin Girang Syawal Tiba yang dilançarkan sempena Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Pelancaran kempen disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam majlis yang berlangsung di Mydin USJ, Subang Jaya pada Khamis lalu.
Datuk Seri Rina Harun berkata, pelbagai kerjasama strategik telah dijalinkan antara Kementerian dan syarikat-syarikat korporat.
“Kerjasama ini amat penting untuk Kerajaan menjayakan program-program berkonsepkan Perkongsian Nilai Korporat atau Corporate Shared Value (CSV) bagi memastikan bantuan kepada kumpulan sasar dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.”
“Kementerian berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan dan menyeru sokongan pihak korporat untuk terus menyokong usaha-usaha murni seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, menerusi kempen itu, pihaknya mengambil pendekatan untuk menyantuni golongan yang memerlukan dengan pelaksanaan siri jelajah ke beberapa negeri seluruh Malaysia.
“Sepanjang Ramadan dan Syawal ini, MYDIN akan menjelajah beberapa negeri menggunakan lori ‘MYDIN Prihatin’ bagi menyalurkan sumbangan yang merupakan barangan makanan dan kelengkapan baju raya.”
“Kami menyasarkan untuk memberi bantuan pada rumah-rumah kebajikan berdaftar, golongan asnaf dan masyarakat miskin bandar bagi merasai pengalaman menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan lebih bermakna.”
Pada masa sama, Mydin turut melancarkan Food Bank Mydin Prihatin yang ditempatkan di 27 pasar raya mereka seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Mydin turut melancarkan Kempen Beli Sambil Menderma bersama jenama-jenama pembekal’ antaranya ialah Ameera, Babas, Cik Suri dan jenama jenama yang lain.
Kempen bermula sejak 1 Mac sehingga 1 Mei depan melibatkan barangan terpilih bagi jenama itu di mana sebanyak lima sehingga 50 sen akan disalurkan ke dana Mydin Prihatin.
Mydin juga menjalinkan kerjasama dengan MyDebit menerusi Kempen MyDebit dan Menang yang menawarkan hadiah berjumlah lebih RM200,000.