
Pemerkasaan Makmal Analisis DNA bantu PDRM laksana 420 kes padanan DNA
KUALA LUMPUR,. Pemerkasaan Makmal Analisis DNA Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peruntukan RM11.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), berjaya membantu PDRM melaksanakan 420 kes padanan asid deoksiribonukleik (DNA) termasuk bagi kes jenayah berat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagaimanapun berkata PDRM masih memerlukan penambahan logistik, peralatan dan teknologi bagi memperkukuh lagi keupayaan siasatan, serta membantu menyelesaikan lebih banyak kes yang memerlukan analisis forensik.
“Penggunaan teknologi itu membantu PDRM menelusuri pelbagai petunjuk, khususnya bahan bukti yang mempunyai kaitan dengan sesuatu kes, sekali gus memperkukuh proses siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 7th National Forensic Science Symposium For Law Enforcement (NAFSLE) 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim.
Beliau berkata kepakaran Makmal Forensik PDRM juga boleh dimanfaatkan oleh jabatan dan agensi lain yang memerlukan bantuan analisis forensik, justeru peningkatan peruntukan akan membolehkan lebih banyak teknologi baharu diguna pakai pada masa hadapan.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohd Khalid berkata rekod 420 padanan DNA itu mencerminkan kejayaan siasatan forensik oleh pegawai forensik, menggunakan peralatan berteknologi tinggi serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang membantu keluarga mangsa memperoleh keadilan.
Beliau berkata kerajaan turut mengambil perhatian terhadap lambakan 297,085 sampel tertunggak di Makmal Analisis DNA PDRM bagi tempoh 2021 hingga 2025, yang menjadi antara cabaran utama dalam mempercepatkan analisis bahan bukti.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan mewujudkan jawatan fleksi bagi juruanalisis Makmal Analisis DNA PDRM sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kecekapan analisis bahan biologi, di samping memastikan proses berkenaan mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
Menyentuh tema simposium tahun ini, Forensic AI: Connecting the Dots, Mohd Khalid menyeru warga PDRM melakukan anjakan paradigma dengan melihat AI sebagai sekutu strategik dalam siasatan forensik, bukan sekadar alat bantuan.
“AI berpotensi mempercepatkan analisis data serta meningkatkan ketepatan dalam mengenal pasti hubungan antara kes, individu dan lokasi kejadian, namun penggunaannya tetap tertakluk kepada prosedur dan integriti,” katanya.
Simposium dua hari itu menghimpunkan lebih 300 peserta, menampilkan lapan penceramah jemputan daripada pelbagai agensi dan institusi akademik serta pameran oleh syarikat pembekal teknologi dan peralatan saintifik dari dalam dan luar negara.
Pada majlis sama, turut diumumkan tiga penerima Anugerah Hits of the Year Pusat Data DNA Forensik Malaysia (FDDM) bagi kejayaan memperoleh padanan DNA yang membantu penyiasatan kes jenayah di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
–BERNAMA
