Alzheimer: Corak tidur pengaruhi seawal 20 tahun sebelum muncul simptom

Alzheimer: Corak tidur pengaruhi seawal 20 tahun sebelum muncul simptom

SUBANG JAYA,. Perubahan pada otak yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer dikesan bermula 15 hingga 20 tahun sebelum kehilangan ingatan yang ketara berlaku, menjadikan tabiat tidur yang baik dan konsisten sejak dari awal penting sebagai langkah pencegahan.

Pakar Perunding Neurologi Sunway Medical Centre, Sunway City Dr Mohamad Imran Idris memberi amaran walaupun berjaga hingga lewat malam sekali-sekala mungkin kelihatan tidak berbahaya, corak tidur yang tidak baik secara konsisten selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun boleh meningkatkan tekanan metabolik pada otak, sekali gus mempercepatkan risiko neurodegeneratif atau kemerosotan fungsi otak.

“Perubahan pada otak bermula 15 hingga 20 tahun sebelum seseorang benar-benar mengalami demensia. Ini bermakna kira-kira 20 tahun sebelum mereka mula mengalami masalah ingatan yang teruk, perubahan mikroskopik pada otak sebenarnya sudah boleh dikesan,” katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual eksklusif.

Menjelaskan salah faham meluas mengenai proses biologi tidur, Dr Mohamad Imran menegaskan seseorang tidak boleh menggantikan semula atau “membayar balik” tidur yang hilang pada hari berkerja dengan tidur berlebihan ketika hujung minggu.

“Tidur teratur itu yang penting kerana kerana tidur hanya empat jam pada waktu malam dan cuba menggantikannya dengan tidur selama 12 jam pada hujung minggu tidak berkesan dari segi biologi untuk menghapuskan keradangan otak yang telah terkumpul,” katanya.

Beliau berkata ketika tidur nyenyak, otak secara aktif menyingkirkan bahan buangan metabolik, sisa selular dan keradangan yang terkumpul sepanjang tempoh sesorang itu berjaga.

Kekurangan tidur yang kronik, katanya menyebabkan otak kehilangan tempoh pemulihan penting tersebut, sekali gus meningkatkan risiko kemerosotan fungsi kognitif dari semasa ke semasa.

Dr Mohamad Imran berkata terdapat hubungan berbentuk U antara tempoh tidur dengan risiko demensia, serta menegaskan bahawa tempoh tidur yang paling sesuai untuk pemulihan otak ialah tujuh hingga lapan jam setiap malam tanpa gangguan.

“Tidur terlalu sedikit meningkatkan risiko demensia tetapi terlalu banyak tidur juga boleh menjadi petanda bahawa seseorang sudah mula mengalami demensia, khususnya jika seseorang yang sebelum ini mempunyai corak tidur normal tiba-tiba mula tidur lebih lama atau menghabiskan sepanjang hari di atas katil,” katanya.

Dari segi risiko demografi, beliau menjelaskan jantina turut memainkan peranan penting apabila dengan statistik menunjukkan pada usia 65 tahun, wanita kira-kira dua kali ganda lebih ramai yang menghidap Alzheimer berbanding lelaki.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata lebih kurang sedekad sebelum diagnosis rasmi dibuat, tanda-tanda bukan kognitif yang tidak begitu ketara sering kali sudah muncul, termasuk Gangguan Tingkah Laku Tidur (RBD) Rapid Eye Movement (REM).

Beliau berkata keadaan itu berlaku apabila individu tidak mengalami kelumpuhan otot normal semasa fasa bermimpi, menyebabkan mereka bertindak secara fizikal mengikut mimpi yang dialami seperti menjerit, menumbuk atau menendang ketika tidur.

Di Malaysia, prevalens demensia semakin meningkat seiring dengan peningkatan penuaan populasi, dengan kaji selidik Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 10 peratus rakyat Malaysia berusia lebih 60 tahun mengalami keadaan tersebut, meningkat kepada 33 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 80 tahun dan ke atas.

Walaupun angka itu membimbangkan, Dr Mohamad Imran menegaskan bahawa kaedah diagnosis moden, seperti biopenanda berasaskan darah digabungkan dengan terapi ubah suai-penyakit (DMT) baharu yang telah diluluskan, kini membolehkan pakar perubatan mengambil langkah aktif untuk memperlahankan perkembangan fizikal penyakit tersebut.

Selain itu, beliau berkata perubahan gaya hidup yang lebih sihat, seperti mengurus kesihatan kardiovaskular, kakal aktif secara fizikal, menjalani latihan kognitif menerusi aktiviti rangsangan yang mencabar otak, mengelakkan merokok, mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara serta mengekalkan hubungan sosial dengan orang di sekeliling, boleh membantu melambatkan kemunculan awal gejala Alzheimer.

“Jika anda menyedari perubahan yang berterusan dalam corak tidur atau menjadi pelupa secara luar biasa, berjumpalah dengan doktor lebih awal kerana menunggu sehingga masalah ingatan hingga menyebabkan tidak lagi dapat mengenali ahli keluarga sendiri, selalunya sudah terlambat,” katanya.

Dalam pada itu, Hari Alzheimer Sedunia yang disambut pada 21 September setiap tahun, terus menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran di peringkat antarabangsa serta menggalakkan intervensi perubatan di peringkat awal.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This