OP FELLA: SPRM RAKAM KETERANGAN ISA SAMAD DI PENJARA SUNGAI BULOH

OP FELLA: SPRM RAKAM KETERANGAN ISA SAMAD DI PENJARA SUNGAI BULOH

KAJANG,. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah merakam keterangan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Penjara Sungai Buloh pada 17 Sept lepas, bagi membantu siasatan kes Op Fella.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata rakaman keterangan itu berkaitan isu pembelian dan pelaburan aset oleh Felda serta Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) yang disyaki terdapat unsur rasuah dan penyelewengan.

“Siasatan masih berjalan dan rakaman keterangan telah dibuat pada 17 Sept di Penjara Sungai Buloh dan dijangka bersambung minggu depan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan berkenaan meliputi tempoh 10 tahun iaitu dari 2010 hingga 2020, dengan sebanyak enam kertas siasatan baharu dibuka manakala satu lagi kertas siasatan lama diteruskan.

“Setakat 18 Sept, sebanyak 34 saksi telah dipanggil dan keterangan mereka dirakamkan berkaitan dengan kes-kes yang disiasat oleh pihak SPRM iaitu sebanyak tujuh kes, dan antara saksi itu ialah bekas ahli lembaga pengarah Felda dan bekas ahli lembaga pengarah FICSB,” katanya.

Abd Halim berkata daripada tujuh kes terbabit, SPRM kini menumpukan kepada isu membabitkan dakwaan penyelewengan dalam Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

“Bagi kes itu, SPRM telah menahan dua individu iaitu bekas Pengarah Besar Felda dan juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB. Mereka telah direman beberapa hari oleh mahkamah dan kini dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Beliau berkata keterangan daripada 30 saksi termasuk ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Felda telah dirakam berhubung siasatan KLVC yang kini telah selesai.

“Ingin dimaklumkan SPRM akan memperakukan pertuduhan terhadap kedua-dua individu yang dinyatakan tadi itu berdasarkan kertas siasatan tersebut. Pihak kami akan mendapatkan izin daripada Jabatan Peguam Negara bagi meneruskan dari segi pendakwaan dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This