MCMC keluar tuntutan statutori terhadap TikTok

MCMC keluar tuntutan statutori terhadap TikTok

CYBERJAYA,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan tuntutan statutori terhadap TikTok susulan kegagalan platform media sosial itu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat dan menurunkan kandungan menghina Institusi Diraja Malaysia.

MCMC dalam kenyataan semalam memaklumkan, tindakan itu dibuat selepas penularan kandungan dikaitkan dengan satu akaun palsu yang kononnya berkaitan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, kandungan berkenaan mengandungi unsur jelik melampau, palsu, berbentuk ancaman serta menghina selain melibatkan video dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan imej yang dimanipulasi.

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan palsu, mengancam dan memudaratkan ketenteraman awam khususnya yang melibatkan Institusi Diraja Malaysia.

“Perkara ini termasuk dalam konteks 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja yang amat sensitif serta boleh menjejaskan keharmonian negara,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, walaupun makluman dan libat urus terdahulu telah dilakukan, respons TikTok dalam menangani kandungan terbabit didapati tidak memuaskan terutama dalam memastikan kandungan diturunkan segera serta menghalang penyebaran lanjut.

Menurutnya, sebagai penyedia perkhidmatan media sosial di Malaysia, platform terbabit mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak disalah guna bagi aktiviti menyalahi undang-undang.

“Tuntutan statutori itu menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.

“TikTok juga dikehendaki memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut,” katanya.

MCMC menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan kawal selia termasuk tindakan undang-undang sekiranya perlu bagi memastikan platform digital mematuhi undang-undang Malaysia dan menjaga keselamatan ruang siber negara.

CATEGORIES
TAGS
Share This