SAMBUTAN DEEPAVALI PERINGKAT KEBANGSAAN DI BRICKFIELDS 14 NOV

SAMBUTAN DEEPAVALI PERINGKAT KEBANGSAAN DI BRICKFIELDS 14 NOV

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menganjurkan Sambutan Deepavali Peringkat Kebangsaan di Brickfields di sini pada 14 Nov ini dengan pelbagai pengisian berteraskan seni, budaya dan warisan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata sambutan yang dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pelbagai pengisian seni, budaya dan warisan diatur dari pagi hingga malam. Sasarannya lebih daripada 10,000 pengunjung pada hari itu sebab hari Sabtu. Kita harap ramai yang boleh hadir,” katanya pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea bersama media di sini hari ini.

Beliau berkata sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis, selain orang ramai berpeluang menyaksikan pelbagai pameran unik termasuk Rumah Malaysia.

Dalam pada itu, Yuneswaran menyeru pengamal media supaya terus bekerjasama dengan kementerian serta jabatan berkaitan dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada masyarakat.

Beliau berkata perhatian perlu diberikan kepada usaha mengetengahkan perkara yang dapat memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat, selain mengelakkan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) daripada mencetuskan ketegangan.

Menurutnya, perkembangan indeks perpaduan di peringkat negeri turut menunjukkan perubahan ketara, sekali gus mencerminkan tahap perpaduan yang semakin baik dalam kalangan masyarakat.

Masyarakat kaum India akan menyambut Deepavali pada 8 Nov ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This