MALAYSIA, CHINA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK SEKTOR KELESTARIAN ALAM

MALAYSIA, CHINA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK SEKTOR KELESTARIAN ALAM

PUTRAJAYA,. Malaysia dan China bersetuju mengukuhkan kerjasama marin merangkumi aspek penyelidikan, sains, teknologi, pertukaran kepakaran dan pengurusan ekosistem laut.

Persetujuan itu dicapai ketika pertemuan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dengan Timbalan Menteri Sumber Asli merangkap Pentadbir Pentadbiran Lautan Negara China, Sun Shuxian di Putrajaya, semalam.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu berperanan sebagai platform penting bagi memperkasakan hubungan dua hala dan memantapkan kerjasama dalam pengurusan sumber asli dan kelestarian alam berasaskan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) kedua-dua negara.

“Berikutan isu jerebu semasa, Arthur turut mengesyorkan penerokaan kerjasama dalam pengurusan kebakaran hutan dan operasi pembenihan awan dengan memanfaatkan kepakaran dan teknologi canggih yang dimiliki pihak China.

“Dalam aspek perundingan antarabangsa, Malaysia mengambil maklum pencalonan China sebagai tuan rumah sekretariat Biodiversity Beyond National Jurisdiction (BBNJ) di Xiamen,” menurut NRES dalam kenyataan itu.

Menurut NRES Arthur turut menegaskan pendirian Malaysia yang kekal terbuka mengenai penawaran China sebagai tuan rumah Sekretariat BBNJ di Xiamen, di samping akan memberikan sokongan yang sewajarnya tertakluk kepada panduan Kementerian Luar dan pertimbangan kepentingan negara pesisir di rantau ini.

Sesi pertemuan itu diakhiri dengan jemputan kepada China untuk menyertai Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau (Greentech) & Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2026.

Jemputan itu meraih sokongan China dengan komitmen untuk menguar-uarkan penyertaan kepada rakan industri berkaitan di negara itu.

NRES turut menyatakan keyakinan bahawa komitmen bersama akan memperkukuh pengurusan alam sekitar yang mampan dan membawa manfaat ekonomi dan kelestarian yang berpanjangan kepada kedua-dua negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This