Kemeriahan Deepavali di Batu Caves pikat hati pelancong asing

Kemeriahan Deepavali di Batu Caves pikat hati pelancong asing

KUALA LUMPUR,. Kemeriahan dan suasana penuh warna-warni pada sambutan Deepavali di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, Selangor memikat hati pengunjung antarabangsa, sekali gus memberi gambaran keharmonian masyarakat berbilang budaya di Malaysia.

Pelancong Rusia Evelina Nesterenko, 24, berkata kunjungan pertamanya ke situ menjadi pengalaman yang sangat menarik, terutamanya apabila melihat kemeriahan suasana perayaan tersebut.

“Ya, ia benar-benar mengagumkan… sangat cantik dan berwarna-warni dan saya mahu merasai pengalaman ini sendiri,” katanya kepada Bernama.

Guru bahasa Inggeris yang menetap di Vietnam itu berkata percutiannya ke Malaysia ekoran pengalaman positif dialami oleh rakannya selain kerana minat terhadap kepelbagaian budaya di negara ini.

“Rusia juga sebuah negara berbilang kaum dan kami mempunyai banyak perayaan untuk budaya berbeza. Jadi, ia amat menarik kerana terdapat ruang untuk semua dan ramai yang berminat dengan perayaan yang berbeza,” katanya.

Pelancong Jerman Lena Koetter berkata kemesraan rakyat Malaysia dan suasana perayaan yang meriah menjadi antara detik paling bermakna untuknya sepanjang berada di negara ini.

“Semalam saya menonton pertunjukan bunga api dan hari ini dapat melihat ramai berasa seronok berkumpul menyambut Deepavali. Saya rasa ia sangat bagus (mereka) mempunyai tempat untuk berkumpul bersama-sama,” katanya.

Selepas berada selama dua minggu di Malaysia, Koetter mengakui berasa kagum dengan keramahan dan kemurahan hati rakyat tempatan selain menyifatkan negara ini menonjolkan perpaduan serta keamanan yang baik.

“Saya sangat menyukai penduduk di sini, mereka begitu baik hati dan jika melihat situasi sukar di sesetengah negara ketika ini, kita tidak merasakan perkara itu semasa berada di sini kerana semua sangat baik dan ramah,” katanya.

Sementara itu, pegawai bank dari India Bhanuprakash yang menetap di Malaysia selama hampir setahun berkata suasana meriah di Batu Caves membuatnya mengimbau kenangan indah di negara asal.

Lelaki itu yang berkunjung ke kuil tersebut dengan rakan senegaranya berkata walaupun terdapat persamaan pada acara sembahyang dan ritual yang diamalkan di India, namun amalan mengadakan rumah terbuka di Malaysia menjadi perkara baharu yang menarik kepadanya.

“Biasanya, kami menyambut Deepavali di rumah dengan keluarga, tiada rumah terbuka (dan) kami tidak pergi ke majlis,” katanya yang memuji cara masyarakat Malaysia mengalu-alukan kehadiran jiran serta rakan daripada pelbagai latar belakang untuk menikmati juadah perayaan bersama-sama.

Batu Caves terkenal dengan patung Dewa Murugan yang berketinggian 42.7 meter dan menjadi patung dewa Hindu tertinggi di Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This