Makmal perancangan hala tuju industri pos dan kurier bermula Isnin ini

Makmal perancangan hala tuju industri pos dan kurier bermula Isnin ini

PUTRAJAYA,. Makmal perancangan hala tuju industri pos dan kurier akan diadakan bermula Isnin (12 Okt) ini selama dua minggu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Makmal yang disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihak industri dan agensi berkaitan itu akan membincangkan perancangan strategik ke arah pengukuhan keupayaan industri serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, katanya.

Beliau berkata perubahan teknologi dan gaya hidup telah membawa cabaran baharu kepada industri pos dan kurier.

“Jumlah penghantaran surat semakin menurun manakala kemunculan ekonomi gig menyaksikan kerja-kerja posmen tidak lagi dilaksanakan secara konvensional.

“Ini memerlukan anjakan paradigma dalam sektor pos dan kurier yang kini mempunyai 111 pemegang lesen bagi memastikan industri ini terus berdaya maju,” katanya dalam kenyataan hari ini bersempena Hari Pos Sedunia yang disambut pada 9 Okt setiap tahun.

Saifuddin turut menzahirkan penghargaan atas jasa warga pos dan kurier di seluruh negara yang bertungkus-lumus secara berterusan membantu rakyat Malaysia mengharungi saat-saat getir semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika sektor lain mengalami kemelesetan akibat pandemik COVID-19, sektor pos dan kurier masih berkembang dan menjana peluang pekerjaan sambilan sebagai talian hayat kepada mereka yang kehilangan kerja,” katanya.

Dalam tempoh pelaksanaan PKP, Pos Malaysia Berhad telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 1,400 penghantar sambilan sebagai post rider dan syarikat kurier lain turut mengambil langkah yang sama susulan lonjakan jumlah kiriman bungkusan sejak PKP.

Bagi membantu usahawan kecil dan sederhana yang semakin ramai berniaga secara dalam talian, syarikat-syarikat pos dan kurier utama telah memperkenalkan pakej kiriman PRIHATIN dengan caj RM5 sahaja untuk bungkusan satu kilogram ke bawah sejak April hingga bulan ini, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )