Tekanan untuk kekalkan daya tahan rangkaian jadi cabaran utama syarikat telekomunikasi – EY

Tekanan untuk kekalkan daya tahan rangkaian jadi cabaran utama syarikat telekomunikasi – EY

KUALA LUMPUR,. Tekanan untuk mengekalkan daya tahan infrastruktur dan memperluas capaian menjadi cabaran paling mendesak bagi syarikat telekomunikasi, walaupun sebahagian besar mereka meningkat seiring dengan lonjakan permintaan terhadap rangkaian ketika tempoh pandemik COVID-19, demikian menurut EY.

Dalam laporan ‘Top 10 Risks in Telecommunications 2020′ yang dikeluarkannya, EY berkata sekatan pergerakan di seluruh dunia semasa awal pandemik telah mendorong peningkatan trafik sehingga 70 peratus selain syarikat telekomunikasi berjaya menjalankan peranan sosial sebagai penyedia kesambungan.

“Memandangkan 42 peratus pengguna United Kingdom mengatakan syarikat telekomunikasi perlu menumpukan sumber untuk mengekalkan kualiti jalur lebar dan 32 peratus pengguna Amerika Syarikat pula bimbang mengenai kebolehpercayaan, kelajuan dan kesambungan Internet kediaman sejak wabak itu mula berlaku maka, syarikat telekomunikasi perlu lebih berusaha untuk mengekalkan persepsi pelanggan yang positif terhadap perkhidmatan yang diterima.

“Secara keseluruhannya, rangkaian dapat bertahan dengan peningkatan ketara dalam situasi bekerja dari rumah, hiburan dan persekolahan semasa pandemik dan hasilnya, syarikat telekomunikasi menerima pandangan pelanggan yang baik,” menurut Ketua Telekomunikasi Global EY, Tom Loozen, dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun perolehan dijangka susut bagi kebanyakan kategori produk dan syarikat telekomunikasi tidak seharusnya berasa selesa.

“Usaha pemulihan memerlukan pemikiran dan kompetensi baharu, mengubah janji kepada pelanggan daripada kelajuan kepada kebolehpercayaan, jadi syarikat telekomunikasi boleh berusaha dalam normal baharu,” katanya.

Laporan itu, yang menggabungkan pandangan industri EY dengan data kaji selidik pengguna, juga mendapati ketidakmampuan untuk meningkatkan usaha pendigitalan; kegagalan merancang semula tujuan dan penyertaan tenaga kerja; gagal meningkatkan kecekapan perbelanjaan modal dan pulangan rangkaian, serta risiko berkaitan perubahan penting dalam privasi, keselamatan dan kepercayaan menjadi risiko yang perlu dihadapi.

Cabaran lain dalam radar risiko adalah pengurusan yang teruk ke atas pelabur dan jangkaan pemegang kepentingan; kerjasama tidak berkesan dengan pelbagai industri yang berkongsi pasaran khusus dan sektor awam, yang selalunya disebabkan kesedaran rendah terhadap manfaat 5G; ketidakmampuan menyesuai dengan perubahan landskap pengawalseliaan; kegagalan untuk mengurangkan gangguan geopolitik yang memuncak dan kompetitif selain kegagalan memanfaatkan perubahan struktur pasaran.

Sementara itu, Rakan Kongsi dan Perundingan Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd, Susanna Lim berkata risiko utama yang ditekankan dalam laporan baharu itu adalah konsisten bagi seluruh sektor telekomunikasi di Malaysia dan rantau ini.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah menjadi tumpuan dalam isu antaranya infrastruktur digital; pulangan rangkaian; jurang digital; perlindungan pengguna; privasi dan keselamatan data; ketersediaan bakat yang mampan serta bidang baharu bagi penelitian pemegang kepentingan, termasuk pengawalseliaan.

“Justeru amat penting khususnya memandangkan persaingan yang semakin sengit dalam teknologi pesat membangun, seperti 5G dan kecerdasan buatan, yang penyedia komunikasi perlu terus menilai dinamiknya dan memahami elemen yang saling mempengaruhi antara mereka memandangkan mereka dilihat akan bertindak balas dan berkembang maju,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )