
Lelaki, ibu ditahan bantu siasatan kes lakukan ritual agama lain
SHAH ALAM,. Seorang lelaki yang tular kerana dipercayai melakukan ritual agama lain yang bertentangan hukum syarak ditahan bersama-sama ibunya di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini mengesahkan dua beranak itu ditahan pada tengah hari tadi.
Beliau berkata penahanan itu dibuat menerusi waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Dua orang yang disyaki itu kini disiasat oleh JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Berdasarkan risikan selepas kes ini tular, JAIS dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata JAIS memandang serius perkara itu dan akan memastikan tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang dan fakta kes.
“Kami berharap semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Terdahulu, individu berusia 21 dan 52 tahun itu dibawa ke Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, Bangunan Sultan Idris Shah, di sini pada 3.50 petang bagi membantu siasatan dengan menaiki van penguat kuasa jabatan itu.
Sebelum ini, Mohd Shahzihan berkata JAIS sedang menyiasat hantaran tular berhubung tindakan individu yang dipercayai beragama Islam melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya sedang mengambil tindakan bersama dengan pihak berkuasa berhubung penularan beberapa rakaman video berkaitan kejadian itu.
— BERNAMA
