
Lebih 5 tan sisa buangan dikutip pada SMG Mega Mangrove Cleanup 2026
PELABUHAN KLANG,. Sebanyak 5.3 tan metrik sisa buangan berjaya dikumpulkan sukarelawan program Selangor Maritime Gateway (SMG) Mega Mangrove Cleanup 2026 yang berlangsung di Mangrove Point, Hutan Simpan Kekal Raja Lumu, di sini hari ini.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata ia sekali gus mencatat satu lagi pencapaian penting bagi anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor menerusi inisiatif SMG dalam usaha berterusan bagi pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
Beliau berkata program seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini dengan LLSB berjaya mengutip 45.8 tan metrik sisa buangan menerusi 60 program pembersihan sejak 2023 hingga Januari tahun ini.
“Sisa buangan dikutip antaranya terdiri daripada botol plastik, beg plastik, botol kaca, tin aluminium serta bekas styrofoam. Sisa ini adalah sampah lama yang kebanyakannya dari hulu Sungai Klang serta terperangkap apabila air surut,” katanya kepada pemberita selepas program itu di sini hari ini.
Program berkenaan disempurnakan Tengku Datin Paduka Setia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan dihadiri Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim.
Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan ekosistem, peserta program turut menanam 1,000 anak pokok bakau di kawasan pemuliharaan itu.
Bertemakan Restoring Ecosystems, Renewing Futures, beliau berkata program berkenaan merupakan inisiatif pemuliharaan hutan paya bakau berskala besar yang pertama dianjurkan, sekali gus membuktikan kepentingan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam memulihkan serta melindungi satu daripada ekosistem semula jadi.
Syaiful Azmen berkata program berkenaan turut diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Bakau Sedunia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Selangor dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Beliau berkata lebih 1,600 peserta telah menyertai program pembersihan mega itu dan ia secara rasmi mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian “Penyertaan Tertinggi Dalam Satu Program Pembersihan Hutan Paya Bakau”.
“Kejayaan ini memperlihatkan bahawa usaha memulihkan ekosistem bukan sahaja merupakan satu tanggungjawab, tetapi juga menjadi peluang untuk menyatukan masyarakat ke arah visi bersama iaitu memulihkan alam sekitar dan membina masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata program terbabit turut melengkapkan usaha berterusan LLSB di bawah SMG dengan memberi penekanan kepada pemulihan ekosistem dan pemeliharaan biodiversiti, selaras dengan usaha pemulihan Sungai Klang.
“Sebagai pemaju induk SMG, LLSB komited untuk mencipta nilai mampan kepada Selangor dengan memulihkan ekosistem sungai, di samping membuka peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada generasi masa hadapan,” katanya.
Izham dalam ucapannya pula berkata usaha pemulihan sungai memerlukan pendekatan menyeluruh yang tidak hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur fizikal semata-mata,
“Usaha pemulihan Sungai Klang yang dilaksanakan menerusi SMG merupakan satu langkah penting dalam mengembalikan kesihatan ekosistem sungai tersebut. Namun begitu, usaha pemulihan sungai sahaja tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata program seperti pembersihan mega itu penting sebagai sebahagian daripada agenda piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negeri yang lebih besar malah pemuliharaan alam sekitar memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, komuniti serta seluruh pihak berkepentingan.
Sementara itu, SMG Mega Mangrove Cleanup 2026 turut mencatat satu lagi detik penting bagi LLSB dengan pelancaran rasmi identiti korporat baharu mereka yang melambangkan transformasi organisasi sebagai sebuah syarikat berteraskan tujuan dengan kelestarian dan prinsip ESG sebagai asas utama.
SUMBER;
–BERNAMA
