BANJIR: 1,152 MANGSA DI PPS DUA NEGERI PAGI INI

BANJIR: 1,152 MANGSA DI PPS DUA NEGERI PAGI INI

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 763 mangsa banjir di Selangor masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 389 mangsa di PPS di Perak, pagi ini.

Di SELANGOR, InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan 763 mangsa daripada 216 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, iaitu di Kuala Selangor, Shah Alam dan Klang setakat 8 pagi ini.

Empat PPS di Kuala Selangor ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang yang menempatkan 291 mangsa daripada 81 keluarga, SK Dato’ Maharaja Lela (211 mangsa, 65 keluarga), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (73 mangsa, 20 keluarga) dan SK Jaya Setia (71 mangsa, 21 keluarga).

Di Shah Alam, sebanyak 47 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di Dewan Siantan Kampung Melayu Subang manakala Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling melibatkan 38 mangsa daripada 10 keluarga.

Sebuah PPS di Klang, iaitu Dewan Masjid Al-Taqwa, Bukit Kapar menempatkan 32 mangsa daripada lapan keluarga.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebanyak 138 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap di Hilir Perak manakala di PPS Dewan Rumah Rehat MPTI sebanyak 251 mangsa daripada 75 keluarga.

Sementara itu, sebanyak 26 mangsa daripada tujuh keluarga yang terjejas akibat ribut masih berlindung di PPS Dewan Komuniti Manjung.

Mereka terdiri daripada penduduk Pekan Beruas, Taman Beruas, Taman Desa, Perumahan Awam, Taman Seri Delima, Taman Limau Emas, Taman Anggerik, Kampung Kilang, Kampung Dendang dan Kampung Paya Lima.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah di Perak pada petang serta malam hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This