
LAWATAN KERJA KE UK PERKUKUH AGENDA REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM – KSN
KUALA LUMPUR,. Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam terus diperkukuh menerusi lawatan kerja ke United Kingdom yang membawa perspektif baharu, amalan terbaik dan jaringan strategik global bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing perkhidmatan awam negara.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata lawatan itu turut mencapai beberapa sasaran yang ditetapkan termasuk usaha meningkatkan kedudukan indeks perkhidmatan awam.
“Selain itu, sasaran yang berjaya dicapai ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Oxford dan Razak School of Government (RSOG), pemantapan kerangka reformasi perkhidmatan awam dari perspektif global serta pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kerajaan di luar negara.
“Alhamdulillah, kesemua sasaran ini berjaya dicapai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Shamsul Azri berkata hasil lawatan itu diharap dapat diterjemahkan kepada tindakan dan pembaharuan yang nyata bagi memastikan perkhidmatan awam terus menjadi lebih tangkas, berdaya tahan serta bersedia mendepani keperluan masa hadapan.
— BERNAMA
