Pertumbuhan KDNK Malaysia 2026 diunjur 5.4 peratus, dipacu permintaan domestik kukuh – RHB IB

Pertumbuhan KDNK Malaysia 2026 diunjur 5.4 peratus, dipacu permintaan domestik kukuh – RHB IB

KUALA LUMPUR,. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 diunjurkan pada 5.4 peratus, dipacu kekuatan permintaan domestik yang berterusan serta prestasi perdagangan yang kukuh, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan hari ini memaklumkan momentum pertumbuhan kekal kukuh walaupun berdepan tekanan luaran yang berterusan, disokong oleh petunjuk ekonomi berfrekuensi tinggi yang memberangsangkan terutama eksport dan pengeluaran perindustrian.

Menurutnya Indeks Ekonomi Utama RHB (LEI) terus menunjukkan pertumbuhan antara 5.0 hingga 5.2 peratus pada separuh kedua 2026.

RHB IB memaklumkan, bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini, pertumbuhan dijangka menerima dorongan daripada permintaan domestik yang berdaya tahan serta eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus teguh.

“Walaupun risiko geopolitik dan berkaitan tarif masih wujud, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai serta usaha untuk mempelbagaikan pasaran eksport sewajarnya memberikan sedikit perlindungan terhadap kejutan luaran.

“Di peringkat domestik, penggunaan swasta dijangka kekal kukuh, disokong situasi pasaran buruh yang baik, pertumbuhan pendapatan dan sokongan dasar manakala pelaburan swasta dijangka terus teguh berikutan pelaksanaan projek infrastruktur, pembangunan pusat data dan pengembangan sektor pembuatan,” menurutnya.

Menurut RHB IB, pendigitalan dan automasi akan memberikan rangsangan tambahan kepada pelaburan terutama dalam sektor pembuatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Sektor perkhidmatan dan pembinaan juga dijangka menerima manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh serta pelaburan berterusan manakala sektor pembuatan kekal pada landasan positif, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta permintaan global yang berterusan terhadap produk E&E.

Bagaimanapun, situasi luaran dan tekanan kos input kekal sebagai risiko utama.

Bank berkenaan juga telah menyemak turun unjuran inflasi keseluruhan 2026 kepada 1.9 peratus daripada 2.1 peratus, sekali gus mencerminkan tekanan harga yang lebih rendah daripada jangkaan.

Inflasi mencatatkan purata 1.8 peratus bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini berikutan pengembalian semula kuota bulanan BUDI95 seperti sebelum ini serta kenaikan kuota subsidi diesel bermula September.

Bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini dan menjelang 2027, RHB IB memaklumkan hala tuju inflasi akan dipengaruhi oleh pergerakan harga komoditi global, perubahan dasar domestik serta potensi risiko peningkatan inflasi makanan.

Menurutnya ketegangan geopolitik yang berlarutan serta gangguan berterusan di Selat Hormuz telah meningkatkan risiko kenaikan harga minyak mentah manakala kenaikan harga pengeluar secara menyeluruh menunjukkan tekanan kos di peringkat huluan semakin meningkat.

“Bagaimanapun, kesan pemindahan kos kepada harga pengguna dijangka berlaku secara beransur-ansur berikutan kelewatan dalam proses itu serta kawalan harga dan subsidi yang berterusan, dengan tekanan inflasi dijangka kekal terkawal, disokong oleh permintaan stabil, ringgit yang agak stabil dan pendekatan dasar domestik.

“Kami menjangkakan bank pusat melaksanakan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas pada separuh pertama 2027 — langkah yang kami anggap sebagai usaha normalisasi ke arah penetapan dasar yang lebih neutral, dan bukannya tindak balas terhadap tekanan inflasi yang ketara,” menurutnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This