KUD@Putrajaya 2023 lepasi sasaran jualan, pengunjung – Rubiah

KUD@Putrajaya 2023 lepasi sasaran jualan, pengunjung – Rubiah

UTRAJAYA,. Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 telah melepasi sasaran transaksi jualan secara tunai, padanan perniagaan dan tempahan dengan capaian berjumlah RM12.5 juta pada hari terakhir penganjurannya, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah KUD@Putrajaya 2023 hari ini, Rubiah berkata sasaran yang ditetapkan sepanjang lima hari karnival itu yang diadakan di Anjung Floria di sini ialah RM10 juta.

Katanya jumlah transaksi jualan secara tunai, padanan perniagaan dan tempahan sentiasa meningkat setiap hari dengan hari pertama RM1.5 juta; diikuti RM3.3 juta pada hari kedua; RM2.3 juta (hari ketiga); RM3.6 juta (hari keempat) dan RM2.2 juta pada hari kelima.

“Alhamdulillah pencapaian ini merupakan suatu kejayaan yang amat membanggakan, apatah lagi tahun ini KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) dapat mengumpulkan lebih 800 usahawan dari seluruh negara dalam satu karnival,” katanya.

Beliau berkata jumlah pengunjung turut melepasi sasaran sejuta orang, apabila jumlahnya sehingga kini telah menjangkau 1.04 juta, dan karnival itu masih berlangsung sehingga malam ini.

“Saya jangka jumlah pengunjung makin ramai. Saya juga ingin ucap terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir ke karnival ini,” katanya.

Menzahirkan penghargaan kepada semua agensi di bawah KKDW yang terlibat menjayakan karnival itu, Rubiah berkata penganjurannya mencapai objektif yang ditetapkan iaitu memperkasakan masyarakat desa melalui aktiviti keusahawanan.

“Untuk edisi yang akan datang, kita akan pastikan sasaran lebih tinggi untuk memastikan penyertaan usahawan desa dipertingkatkan,” katanya.

Ditanya reaksi daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap kejayaan karnival itu, Rubiah berkata Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah amat berbangga dan gembira walaupun tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

“Beliau sebelum ini berpesan kepada barisan kepimpinan di KKDW untuk pastikan karnival berjalan lancar kerana karnival ini amat dinantikan beliau,” katanya.

Khamis lepas, Ahmad Zahid telah memuat naik catatan di Facebook rasminya bagi memaklumkan bahawa beliau dalam tempoh berehat selepas selesai menjalani satu prosedur pembedahan pada 16 Nov lepas.

Sementara itu, pemenang hadiah utama cabutan bertuah Muhammad Amirul Ashraf Napi, 29, yang membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi menzahirkan rasa teruja dan menyifatkan hadiah itu sebagai rezeki buat anak pertamanya yang baru dilahirkan.

“Pertama kali saya dapat hadiah besar macam ni. Alhamdulillah, boleh guna untuk ke pejabat di Mont Kiara,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

KUD@Putrajaya 2023 melabuhkan tirainya hari ini dengan mencapai impak bukan sahaja dari segi jumlah jualan, malah memberi persepsi positif bahawa kualiti produk usahawan desa adalah setanding dengan produk dari luar negara.

Karnival berkenaan disertai agensi-agensi di bawah KKDW antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )