37 kematian, 10 laporan orang hilang di kawasan banjir setakat semalam

37 kematian, 10 laporan orang hilang di kawasan banjir setakat semalam

SHAH ALAM,. Sebanyak 37 kematian dan 10 laporan orang hilang direkodkan di kawasan banjir di seluruh negara sehingga semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata daripada jumlah itu lima kematian dilaporkan dalam masa 24 jam lepas, membabitkan empat dewasa dan satu kanak-kanak, sementara dua mangsa masih hilang.

Katanya seramai 68,341 mangsa banjir daripada 18,080 keluarga berada di 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri dengan Pahang paling teruk terjejas pada kali ini, selain Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, menurutnya 137 lokasi jalan masih ditutup akibat banjir setakat ini membabitkan empat negeri iaitu 120 lokasi di Pahang, Selangor (12), Kelantan (tiga) dan Negeri Sembilan (dua).

“Selain itu, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 2.30 pagi tadi sebanyak 23 lokasi sungai diletakkan dalam keadaan bahaya dan amaran.

“Paras bahaya melibatkan 13 lokasi iaitu sembilan sungai di Pahang, satu lokasi masing-masing di Selangor dan Johor, serta dua di Kelantan,” katanya pada sidang media harian Ops Banjir di Taman Sri Muda, di sini hari ini.

Menurut Acryl Sani 10 lokasi paras amaran pula ialah masing-masing satu di Selangor dan Johor, serta masing-masing dua di Pahang, Kelantan, Melaka dan Sarawak.

Acryl Sani berkata bagi kes kematian yang diterima dari kawasan terlibat banjir, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Setakat ini tiada laporan yang kami terima, jika kami perlu untuk bagi penerangan kami akan bagi dan saya percaya laporan bedah siasat masih dalam proses,” katanya.

Ditanya mengapa jumlah kematian berbeza antara pihak berkuasa dan kerajaan negeri, beliau menjawab setiap apa juga jenis kematian wajib dilaporkan kepada polis mengikut peruntukan Akta Prosedur Jenayah.

“Setiap kematian yang dilaporkan kepada polis dicatatkan sebagai statistik yang diterima dan akan dibuka kertas yang dipanggil Laporan Kematian Mengejut,” katanya.

Pada masa yang sama, Acryl Sani berkata seramai 1,081 pegawai dan anggota polis serta 880 kakitangan awam yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia terjejas dengan banjir di seluruh negara setakat ini.

“Selain itu, setakat dua hari lepas saya menerima laporan tujuh balai terkesan dengan bencana banjir,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )