Ramadan ‘detik penuh kebaikan’ di Facebook dan Instagram – Kajian

Ramadan ‘detik penuh kebaikan’ di Facebook dan Instagram – Kajian

KUALA LUMPUR: Ramadan dinamakan sebagai detik penuh kebaikan atau ‘kindest moment’ di platform milik Meta iaitu Facebook dan Instagram. Meta mengumumkan laporan hasil penyelidikan pengguna tahunan yang dinamakan Kajian Detik Ramadan Meta, pada Khamis.

Kajian itu dijalankan dengan kerjasama YouGov dengan lebih 13,000 responden di sembilan negara, termasuk Malaysia.

Tinjauan di Instagram sahaja menunjukkan terdapat 13.4 juta interaksi yang menyebut tentang kebersamaan, hubungan dan komuniti sepanjang Ramadan. Menurut Pengarah Negara Meta Malaysia Nicole Tan, dengan bilangan pengguna digital tertinggi berbanding negara lain di Asia Tenggara, Malaysia memperlihatkan kelebihan tersendiri apabila aspek kebaikan menerima capaian yang tinggi terutama sepanjang bulan Ramadan.

“Saya boleh katakan dua atau tiga perkara yang menonjol bagi Malaysia ialah aspek kebaikan sangat tinggi. Ia memuncak di Malaysia.
“Yang kedua ialah pencipta, rakyat Malaysia memang menyukai kandungan asli oleh pencipta.

“Yang ketiga ialah pemesejan perniagaan, penduduk di Asia Tenggara lebih arif tentang pemesejan perniagaan, berbanding banyak negara lain. “Sebanyak 99 peratus rakyat Malaysia ialah pengguna digital, jadi orang ramai membeli dalam talian dan akhir sekali tempoh perancangan kerana Ramadan adalah detik yang besar untuk kita semua.

“Orang ramai merancang lebih awal,” kata Nicole ketika ditemui dalam sesi taklimat ringkas berhubung dapatan kajian tersebut di ibu pejabat Meta, pada Khamis.

Antara dapatan kajian itu ialah 92 peratus individu yang menyambut Ramadan di Malaysia gemarkan kandungan yang mempromosikan komuniti dan kebersamaan. Penceritaan jenama juga memainkan peranan apabila 70 peratus pembeli didapati meluangkan masa yang lebih untuk menonton video dalam talian semasa Ramadan.

Sementara itu, dua daripada tiga pembeli sukakan pengalaman beli-belah yang diperibadikan, manakala 59 peratus merasa lebih keterhubungan menerusi pemesejan perniagaan. Menerusi dapatan kajian ini, Meta berharap jenama dan perniagaan boleh menjangkakan tingkah laku pengguna mereka semasa Ramadan dan membuat perancangan sewajarnya.

“Kami melihat bahawa pengguna pada bulan Ramadan lebih suka melibatkan diri dengan kandungan yang mempromosikan komuniti dan kebersamaan, jadi kami menggalakkan jenama dan perniagaan.
“Jika anda melakukan penceritaan jenama, cuba membina mesej komuniti, kebersamaan dan kebaikan ini, ia menerima sambutan sangat baik di platform ini, dengan pengguna di platform kami,” ujarnya.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )