KPM junjung kasih titah Agong

KPM junjung kasih titah Agong

PUTRAJAYA,. Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim, yang menekankan kepentingan memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah terpelihara dalam keadaan cuaca panas.

Menurut KPM, titah baginda itu menjadi peringatan penting kepada semua institusi pendidikan di bawah kementerian untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam menghadapi keadaan cuaca panas ketika ini.

Sehubungan itu, kementerian telah mengeluarkan arahan kepada semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya bagi memastikan langkah pencegahan dilaksanakan dengan berkesan.

Antara langkah yang diambil termasuk pemantauan rapi terhadap pelaksanaan aktiviti luar di sekolah, selain memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas.

KPM menegaskan komitmennya untuk terus memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif bagi semua warga sekolah sepanjang tempoh cuaca panas ini.

CATEGORIES
Share This