Komuniti perlu main peranan sebagai pejuang barisan hadapan tangani COVID-19 – Muhyiddin

Komuniti perlu main peranan sebagai pejuang barisan hadapan tangani COVID-19 – Muhyiddin

KUALA LUMPUR,. Kaedah atau pendekatan terbaik bagi menangani penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti adalah dengan memastikan komuniti itu sendiri meningkatkan usaha dalam memainkan peranan sebagai ‘frontliner’ atau pejuang barisan hadapan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. menegaskan sehingga vaksin COVID-19 dapat mencapai sasaran ditetapkan, negara masih mengharungi suatu tempoh yang sukar dalam memerangi wabak itu kerana bilangan kes masih tinggi walaupun kes positif baharu kini semakin menurun.

Beliau berkata usaha mengekang penularan wabak COVID-19 tidak akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya tidak didukung oleh setiap lapisan masyarakat.

“Justeru program Pemerkasaan Komuniti ini adalah senjata yang kita ada dalam usaha untuk bersama-sama membendung penularan virus COVID-19 ini.

“Usaha ini juga selaras dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk memperkasakan institusi keluarga dan komuniti yang telah saya lancarkan pada 15 Februari lalu,” katanya dalam ucapan sempena Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, RTM hari ini.

Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan wabak tersebut.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah, sedang dan akan menggerakkan beberapa inisiatif Pemerkasaan Komuniti bagi menghadapi ancaman penularan COVID-19 termasuk memperkenalkan Program Agent Basmi COVID-19 (ABC-19) melalui pendekatan ‘Whole-of-Society’ yang digerakkan oleh agensi kerajaan, kepimpinan komuniti dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

Katanya sehingga 23 Mac lepas, seramai 29,407 anggota agensi dan kepimpinan komuniti telah menyantuni lebih 1.325 juta rakyat melalui pelbagai program di lebih 22,166 hotspot atau kawasan tumpuan dengan keanggotaan ABC-19 itu bertambah dengan penglibatan sukarelawan NGO.

Muhyiddin menjelaskan pelbagai isu dan cabaran semasa menghadapi COVID-19 dihadapi oleh komuniti memerlukan pendekatan kolektif yang inovatif dan kreatif, maka pemerkasaan komuniti secara komprehensif amat penting sebagai salah satu usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Kepimpinan komuniti merupakan tulang belakang dalam sesebuah komuniti.

“Contohnya penghulu, ketua kampung, ketua-ketua agama, ketua rumah panjang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli dan lain-lain pemimpin masyarakat perlulah digerakkan bagi bersama-sama menjayakan usaha ini,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )