J-KOM, MAB jalin kerjasama tingkatkan pengehakupayaan komuniti OKU

J-KOM, MAB jalin kerjasama tingkatkan pengehakupayaan komuniti OKU

KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menjalin kerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dalam usaha meningkatkan pengehakupayaan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan J-KOM Mohamad Husni Ab Aziz berkata masyarakat OKU adalah antara kumpulan paling terjejas akibat penularan wabak COVID-19, sekali gus mengehadkan keupayaan mereka menghasilkan sumber pendapatan.

Beliau berkata pihaknya dan beberapa agensi lain sedang giat mengkaji bagaimana meningkatkan keupayaan OKU khususnya dalam bidang latihan dan kemahiran.

“Kalau kita lihat antara isu dan cabaran dihadapi komuniti OKU sekarang adalah untuk mendapat peluang pekerjaan… mereka ini kalau berdasarkan kajian, semakin tinggi tahap pendidikan mereka, semakin sukar mendapat pekerjaan kerana stigma dan presepsi dalam kalangan majikan.

“Di Malaysia kita ada hampir 600,000 individu OKU. J-KOM akan meningkatkan tumpuannya pada komunikasi dua hala antara kerajaan dan komuniti OKU dengan membantu mereka dalam aspek pengupayaan dan pemerkasaan khususnya aspek latihan dan kemahiran,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kompleks MAB, di sini pada Isnin.

Husni berkata J-KOM juga akan membantu masyarakat itu dengan menyediakan wadah dan peluang suara mereka didengari, selain meningkatkan kesedaran awal berkaitan peluang pekerjaan.

Mengenai lawatan itu, beliau memuji komuniti OKU di kompleks berkenaan yang turut memperkasakan peluang kepada ahli-ahlinya dalam mewujudkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan keupayaan mereka menceburi bidang pekerjaan.

“Antaranya kami dibawa melihat program MAB radio iaitu program radio komuniti mereka untuk ‘reach out’ kepada mereka yang cacat penglihatan… difahamkan pendengar radio ini bukan hanya di Malaysia tetapi ada juga pendengar dari Kanada,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )