Aktiviti ekonomi dibuka berperingkat jika kes turun bawah 4,000 – PM

Aktiviti ekonomi dibuka berperingkat jika kes turun bawah 4,000 – PM

KUALA LUMPUR,. Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat di bawah fasa kedua pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis sekiranya purata kes harian COVID-19 turun di bawah 4,000, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, fasa kedua merupakan kesinambungan daripada fasa pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.

“Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada fasa 1 akan juga diperluaskan semasa fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor dan aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen petang ini.

Muhyiddin berkata Malaysia boleh beralih kepada fasa ketiga sekiranya negara berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian COVID-19 menurun ke paras di bawah 2000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Katanya, nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos 2021.

Fasa ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19.

“Semasa fasa ketiga, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian.

“Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi fasa ketiga, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan had kapasiti.
Senarai negatif fasa ketiga yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan apabila penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti di pub, spa dan salon kecantikan.

Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasikan, katanya.

Malaysia melaksanakan PKP 3.0 apabila kes baharu harian COVID-19 terus melonjak tinggi yang menyebabkan perniagaan terpaksa menutup sementara operasi mereka.

Bagaimanapun, industri makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan, utiliti air dan tenaga, pengangkutan — termasuk pelabuhan dan lapangan terbang — yang merupakan kategori perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP 3.0 yang bermula 1 Jun dan baru-baru ini dilanjutkan sehingga 28 Jun.

Ini telah menyebabkan firma penyelidikan dan agensi penarafan menyemak semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka bagi Malaysia.

Maybank Kim Eng Research telah menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) bagi tahun 2021 kepada 4.2 peratus daripada 5.1 peratus sebelum ini berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan yang lebih ketat bulan lepas dan sekatan penuh bulan ini.

Firma penyelidikan itu menyatakan semakan menurun itu terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan rendah bagi perbelanjaan perkhidmatan dan perbelanjaan.

KDNK Malaysia menyusut 5.6 peratus tahun lepas berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada 2019.

Setakat Selasa (15 Jun), Malaysia mencatatkan 5,419 kes COVID-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sejak pandemik itu bermula kepada 667,876 kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )