KASA sasar bina 10,000 km denai sungai sebagai kawasan rekreasi menjelang 2030

KASA sasar bina 10,000 km denai sungai sebagai kawasan rekreasi menjelang 2030

KAJANG,. Kementerian Alam Sekitar dan Air menyasarkan untuk membina 10,000 kilometer denai di tepi sungai sebagai kawasan rekreasi dan taman awam menjelang 2030 sebagai langkah pencegahan pencemaran di kawasan itu.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata di bawah program Denai Kebangsaan, KASA dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan-kawasan rizab sungai untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai.

“Sejak usaha ini dimulakan pada 2020, sebanyak 42 denai telah dibangunkan meliputi jarak kira-kira 210 kilometer sebagai kawasan tempat beriadah dan banyak lagi kawasan akan dikenal pasti dengan sasaran 1,000 kilometer denai dibina setiap tahun hingga 2030,” katanya kepada media selepas menerima kertas cadangan pelan induk Sungai Air Hitam daripada penduduk Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda di sini.

Katanya umum mengetahui terdapat rizab sungai yang menjadi kawasan petempatan haram, tempat pembuangan sampah serta dipenuhi dengan semak samun dan keadaan tersebut merupakan antara penyumbang kepada masalah pencemaran di Malaysia.

Menurutnya kewujudan denai di tepi sungai akan menggalakkan aktiviti seperti berjoging, berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.

“Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut akan menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa sampah sarap, di samping berpotensi menyumbang kepada ekopelancongan setempat,” katanya.

Zaini berkata pembinaan kawasan rekreasi di tepi sungai secara tidak langsung akan menggalakkan penglibatan orang ramai, komuniti setempat, badan-badan korporat dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama memainkan peranan dari segi pengawasan, pemeliharaan dan pengindahan sungai di seluruh negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )