Jenazah pelakon veteran Zulkifli Zain selamat dikebumikan

Jenazah pelakon veteran Zulkifli Zain selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR,. Jenazah pelakon veteran Datuk Zulkifli Zain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini semalam.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Ukay Perdana sejurus tiba di tanah perkuburan itu pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Selain keluarga, beberapa teman rapat dan rakan seni Allahyarham turut kelihatan di tanah perkuburan tersebut, antaranya Eman Manan, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Rosyam Nor.

Zulkifli, 76, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ukay Perdana kira-kira jam 7.30 malam kelmarin akibat komplikasi pelbagai penyakit antaranya darah tinggi, kencing manis, jantung serta buah pinggang dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, memulakan karier sebagai pelakon melalui filem ‘Jiwa Remaja’ pada 1975 dan berlakon dalam lebih 10 buah filem selain beratus-ratus drama sepanjang menceburi dunia seni hiburan.

Allahyarham meninggal-kan isteri Datin Normala Omar dan lima anak iaitu Dr Norzizi, Norzaza, Norzazila, Norzazleen dan Muhammad Noor Zabaiq.

Anak sulung perempuannya yang juga pensyarah, pelakon dan pengarah teater Dr Norzizi berkata beliau berada di samping bapanya itu semasa arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Memang rutin saya pergi ke rumahnya setiap hari Sabtu untuk bergilir menjaga papa. Selang setengah jam selepas baring di katil, adik saya masuk ke bilik (dan) nampak papa bernafas tercungap-cungap.

“Papa ‘pergi’ dengan tenang dan cepat, macam sukar nak percaya,” katanya, menambah antara permintaan terakhir arwah bapanya ialah agar beliau meneruskan pengajian dan bergelar profesor madya.

Sementara itu, pelakon Eman Manan ketika ditemui berkata Allahyarham merupakan seorang yang kuat semangat dan berprinsip dalam bidang kerjaya dan rumah tangga.

“Menerusi filem pertama saya, ‘Matinya Seorang Patriot’ pada 1984, arwah memegang watak penting dalam filem itu iaitu sebagai abang kepada saya. Banyak ilmu lakonan dan filem yang saya belajar bersamanya seperti bagaimana untuk menelaah skrip,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )