FAM buat persiapan awal aksi menentang Krygystan, Taiwan

FAM buat persiapan awal aksi menentang Krygystan, Taiwan

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat perancangan awal dalam usaha membantu skuad Harimau Malaya mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin percaya skuad kendalian Kim Pan Gon menpunyai peluang untuk mara sebagai muncul 18 pasukan terbaik Asia, sekiranya berjaya menewaskan Kyrgyzstan dan Taiwan pada dua aksi terakhir pusingan kedua, Jun ini.

Malaysia, yang kini menduduki tempat ketiga Kumpulan D selepas empat perlawanan, akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun, diikuti aksi berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Antara persediaan awal FAM adalah penerbangan sewa khas ke Bishkek menerusi penaja Malaysia Airlines Berhad.

“Penerbangan khas ini adalah atas permintaan Pan Gon untuk mengelakkan transit untuk ke sana, serta tiba di Malaysia pada hari seterusnya untuk membuat persediaan bagi aksi menentang Taiwan. Ini memang satu usaha FAM yang kita pernah buat sebelum ini.

“Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan, mereka bersetuju dengan tarikh-tarikh liga dan kem latihan skuad kebangsaan,” katanya kepada pemberita.

Mengikut jadual Liga Malaysia (Liga-M) dikeluarkan MFL, aksi terakhir Liga Super adalah pada 26 Mei sebelum bersambung semula pada 13 Jun, iaitu lebih awal berbanding tempoh kalendar Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula 3 hingga11 Jun.

Hamidin berkata persiapan skuad kebangsaan pada masa ini tidak sama seperti zaman dahulu, kerana perlu mematuhi kalendar FIFA.

Berdasarkan kedudukan selepas empat aksi pusingan kedua kelayakan tersebut, Kyrgyzstan mendahului Kumpulan D berdasarkan kelebihan gol walaupun berkongsi sembilan mata dengan Oman, diikuti Malaysia (enam) dan Taiwan di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan kemenangan 4-3 ke atas Kyrgyzstan di Bukit Jalil dan 1-0 ke atas Taiwan di Taipei pada November tahun lepas, namun tewas 0-2 kepada Oman, masing-masing di Muscat pada 21 Mac dan Bukit Jalil pada 26 Mac lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )