COVID-19: Kes baharu kekal satu angka dengan enam kes semalam – Noor Hisham

COVID-19: Kes baharu kekal satu angka dengan enam kes semalam – Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Kes positif COVID-19 kekal mencatat satu angka hari ini dengan enam kes baharu melibatkan tiga kes penularan tempatan dan tiga kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata tiga kes penularan dalam negara itu membabitkan dua kes daripada Kluster Benteng LD dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan di sebuah pusat perubatan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata tiga kes import pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan yang mendapat jangkitan dari Indonesia dan Bangladesh, dengan kesemua mereka merupakan rakyat asing.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,397 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 154 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat dua kes pulih daripada COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,115 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat enam kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini juga, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 128 atau 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas mengenai status terkini Kluster Benteng LD, beliau memaklumkan terdapat dua pertambahan kes baharu hari ini (kes ke-9395 dan kes ke-9396) bagi kluster di Sabah itu.

Beliau berkata kes ke-9395 merupakan kontak rapat kepada kes ke-9351 dan dikesan bergejala pada 1 Sept sebelum dimasukkan ke Hospital Tawau pada 2 Sept.

“Bagi kes ke-9396, beliau merupakan anak saudara kepada kes ke-9395. Kes dikesan positif pada 5 Sept dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya.

Pertambahan dua kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif bagi Kluster Benteng LD adalah sebanyak 16 kes dengan seramai 776 orang disaring setakat ini, katanya.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )