
International Palm Oil Millers Conference 2026 IPOMC 2026, Berlansung di kuala lumpur 23 hingga 25 April
KUALA LUMPUR,. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) kekal komited untuk memperkukuh daya saing industri pengilangan minyak sawit melalui penerapan teknologi, amalan kelestarian serta pembangunan modal insan bersepadu, selaras dengan keperluan industri yang semakin dinamik.
Komitmen ini dizahirkan menerusi International Palm Oil Millers Conference 2026 (IPOMC 2026), anjuran The Incorporated Society of Planters, yang berlangsung dari 23 hingga 25 April di Kuala Lumpur.
Persidangan tersebut menghimpunkan kira-kira 300 delegasi industri dan berperanan sebagai platform penting untuk membincangkan hala tuju masa depan sektor pengilangan minyak sawit.
Dalam satu kenyataan, kementerian memaklumkan bahawa mengekalkan kecemerlangan industri memerlukan pendekatan seimbang yang menggabungkan inovasi teknologi, kelestarian dan pembangunan bakat bagi memastikan daya saing jangka panjang.
Penggunaan teknologi seperti pendigitalan, automasi, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, mempertingkat kawalan kualiti, mengurangkan gangguan serta membolehkan penyelenggaraan yang lebih proaktif melalui penggunaan data.
Pada masa sama, inovasi dan penyelidikan kekal menjadi keutamaan, khususnya dalam pembangunan produk yang lebih mampan bagi memenuhi keperluan pasaran global yang sentiasa berubah.
Kelestarian terus menjadi fokus utama dengan penekanan terhadap pengurusan sumber secara bertanggungjawab, peningkatan kecekapan tenaga serta pengurangan sisa.
Kementerian turut menekankan kepentingan pematuhan kepada piawaian seperti pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), selain menangani isu keselamatan makanan melibatkan bahan cemar seperti 3-MCPD dan ester glisidil bagi melindungi reputasi industri serta mengekalkan akses pasaran antarabangsa.
Pembangunan modal insan juga diberi keutamaan melalui pelaburan dalam pendidikan, latihan berterusan serta program kepimpinan bagi memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri.
Kementerian menambah bahawa kerjasama kukuh antara pemain industri, agensi kerajaan dan institusi akademik adalah penting dalam membina ekosistem yang lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan.
KPK menyatakan keyakinan bahawa melalui pendekatan bersepadu yang menekankan penggunaan teknologi, pengukuhan kelestarian dan pembangunan bakat, industri pengilangan minyak sawit Malaysia akan terus kekal berdaya saing serta relevan di peringkat global.
