HUBUNGAN EKONOMI ASEAN-BRICS MAKIN BERKEMBANG, TETAPI RINTANGAN PERDAGANGAN MASIH WUJUD

HUBUNGAN EKONOMI ASEAN-BRICS MAKIN BERKEMBANG, TETAPI RINTANGAN PERDAGANGAN MASIH WUJUD

KUALA LUMPUR,. Kerjasama ekonomi antara negara ASEAN dan BRICS semakin meluas merentasi sektor-sektor utama, termasuk tenaga, jaminan makanan dan pembuatan.

Bagaimanapun, rintangan berterusan dalam logistik, peraturan perdagangan dan pembayaran rentas sempadan boleh menjejaskan usaha untuk mewujudkan rangkaian ekonomi yang mampan menjelang 2035, menurut analisis TV BRICS.

Analisis itu memaklumkan bahawa kesalinghubungan pengangkutan yang lebih kukuh, prosedur perdagangan yang diperkemas dan mekanisme kewangan yang lebih cekap adalah penting untuk memperdalam hubungan ekonomi antara kedua-dua blok berkenaan.

Ia mengenal pasti Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam sebagai hab utama kerjasama dengan BRICS, disokong oleh keupayaan industri, sumber asli dan pautan pelaburan mereka yang semakin berkembang.

Ahli Ekonomi merangkap bekas Naib Presiden New Development Bank, Paulo Nogueira Batista Jr mengingatkan agar tidak menganggap infrastruktur kewangan sebagai rintangan terlemah dalam kerjasama ASEAN-BRICS.

“Transaksi rentas sempadan semakin banyak dijalankan dalam mata wang tempatan negara-negara yang mengambil bahagian. Selain itu, People’s Bank of China mempunyai rangkaian talian pertukaran dua hala renminbi dengan beberapa bank pusat di Selatan Global, termasuk beberapa bank pusat di negara ASEAN.

Talian pertukaran ini boleh menyediakan kecairan, yang mungkin berguna ketika krisis kewangan,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya di Financial University di bawah Kerajaan Persekutuan Rusia, Mikhail Khachaturyan berkata kekangan logistik kekal sebagai halangan utama untuk memperluas perdagangan antara ASEAN dan BRICS.

Beliau berkata pelabuhan, jalan kereta api, koridor jalan raya dan lintasan sempadan beroperasi pada kapasiti penuh, dengan kapasiti perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tahun-tahun mendatang.

“Negara yang berbeza mempunyai saiz tolok landasan kereta api, spesifikasi gerabak dan keperluan pembungkusan kontena yang berbeza. Ini memerlukan pemindahan muatan tambahan, yang melambat aliran barangan melalui rantaian pengangkutan serta logistik dan menyebabkan peningkatan kos untuk pengirim dan penerima konsain,” katanya.

Khachaturyan turut menyerlahkan prosedur pelepasan kastam yang mengambil masa lama dan ketiadaan piawaian digital yang seragam sebagai faktor yang menyumbang kepada kelewatan serta kos perdagangan yang lebih tinggi.

Pakar ekonomi Irina Rusak berkata China merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) ketiga terbesar ASEAN dan boleh memudah cara pemindahan pengeluaran dalam sektor barangan elektronik, kenderaan elektrik, tenaga dan infrastruktur digital.

Analisis itu turut mengetengahkan daya tarikan pelaburan ASEAN yang semakin meningkat, dengan aliran masuk FDI mencecah US$243.9 bilion pada 2025, mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu US$230 bilion pada 2023.

Meskipun berdepan cabaran ini, analisis itu berkata ASEAN dan BRICS tidak bergerak ke arah penggabungan atau pembentukan satu blok ekonomi tunggal, sebaliknya membangunkan rangkaian ekonomi yang saling terhubung menerusi perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This