Hubungan Malaysia-Vietnam penting pastikan bekalan makanan negara mencukupi

Hubungan Malaysia-Vietnam penting pastikan bekalan makanan negara mencukupi

KUALA LUMPUR,. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam penting bagi memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi dalam mendepani krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

Beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Vietnam berkata ia bertujuan memastikan negara jiran itu terus menjadi rakan dagang yang stabil dan konsisten dalam membekalkan sumber makanan termasuk beras dan komoditi penting lain kepada Malaysia.

“Lawatan ini amat signifikan dalam konteks dunia yang kini berdepan dengan krisis bekalan global yang memberi kesan langsung kepada rantaian makanan dan kestabilan harga.

“Dalam situasi ini, saya melihat keperluan untuk Malaysia bergerak secara lebih proaktif, strategik dan berpandangan jauh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad turut komited untuk terus memperkukuh kerjasama antarabangsa, mempelbagaikan sumber bekalan serta memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa terpelihara.

“Insya-Allah, saya akan terus pastikan bekalan makanan negara stabil, mencukupi dan terjamin demi kesejahteraan semua,” katanya.

Terdahulu, ketibaan Mohamad di Hanoi disambut Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai bersama isteri Datin Akiko Morioka Tan.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This