
Hubungan dagangan pertanian Malaysia-AS terus berkembang positif
KUALA LUMPUR,. Hubungan dagangan pertanian antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terus menunjukkan perkembangan positif, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata Kerajaan MADANI kekal komited memastikan setiap kerjasama yang dibina mengambil kira kepentingan negara, keselamatan makanan rakyat serta kelestarian sektor pertanian secara menyeluruh dan berjangka panjang.
Mohamad berkata demikian menerusi perkongsian di Facebook selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Setiausaha bagi Perdagangan dan Hal Ehwal Pertanian Luar Negeri, Jabatan Pertanian AS (USDA) Luke J. Lindberg, bersama Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan dan delegasi di Wisma Tani, Putrajaya, hari ini.
“Pertemuan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan AS, khususnya dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi sektor pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau berkata perbincangan meliputi perdagangan agro-makanan, pematuhan piawaian keselamatan makanan, pemodenan, serta penggunaan teknologi pertanian, di samping potensi kerjasama yang dapat memberi manfaat bersama kepada petani dan pemain industri kedua-dua negara.
“Insya-Allah, usaha berterusan ini akan terus memperkukuh ekosistem agro-makanan negara, meningkatkan produktiviti, serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.
–BERNAMA
