
HONOR perkenal Robot Phone, dibangunkan bersama ARRI, pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-83
KUALA LUMPUR,. HONOR memperkenalkan peranti sinematik mudah alihnya, termasuk HONOR Robot Phone yang didakwa sebagai telefon Robot pertama dunia, pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-83.
Sebagai Rakan Strategik Pengimejan Rasmi Program Promosi Antarabangsa Filem Berbahasa Cina, HONOR mengetengahkan teknologi pengimejan mudah alih menerusi kerjasama dengan ARRI iaitu syarikat teknologi kamera sinematik profesional.
HONOR Robot Phone yang dibangunkan bersama ARRI menarik perhatian menerusi reka bentuk gimbal mekanikal inovatif dan keupayaan pengimejan sinematik bertaraf profesional, sekali gus membuka kemungkinan baharu dalam penerbitan filem menggunakan telefon pintar.
Kerjasama HONOR dan ARRI turut diperluaskan kepada siri Magic, dengan HONOR Magic9 Pro Max membuat penampilan sulungnya pada Festival Filem Venice.
Peranti berkenaan tampil dengan kemasan belakang berwarna hijau lumut yang unik, manakala modul kameranya menampilkan logo ARRI dan susunan kanta yang mengambil inspirasi daripada bahasa reka bentuk salah satu kamera sinematik ikonik ARRI.
Kerjasama HONOR dan ARRI mengadaptasi elemen terpilih daripada sains pengimejan serta aliran kerja sinematik profesional ARRI untuk digunakan dalam telefon pintar.
Pendekatan itu memberikan pencipta kandungan lebih fleksibiliti ketika proses produksi, di samping mengekalkan kawalan kreatif sepanjang proses pascaproduksi.
Menerusi HONOR Robot Phone, ciri ARRI LogC3, ARRI Wide Gamut 3 dan ARRI Looks digabungkan dalam satu peranti bagi menyokong aliran kerja bersepadu daripada rakaman mudah alih hingga pascaproduksi.
ARRI LogC3 membantu mengekalkan lebih banyak maklumat dalam bahagian cerah dan gelap imej untuk proses pascaproduksi, manakala ARRI Wide Gamut 3 menyediakan ruang warna lebih luas.
ARRI Looks pula menawarkan gaya warna sinematik yang boleh dikawal, sekali gus memberikan pencipta lebih banyak pilihan dalam menghasilkan visual mengikut kreativiti masing-masing.
Ketua Pegawai Produk ARRI David Bermbach berkata, masa depan pengimejan bukan sekadar berkaitan jumlah piksel yang lebih banyak, sebaliknya kawalan dan keupayaan memperkasakan pencipta menghasilkan imej berkualiti.
“HONOR membawa kepakaran dalam pengimejan mudah alih, pemprosesan berkuasa dan robotik. ARRI pula menyumbang pengalaman lebih seabad dalam sains pengimejan serta aliran kerja produksi profesional yang dipercayai.
“Kami datang daripada industri berbeza, namun berkongsi satu matlamat untuk memperluaskan perkara yang boleh dicapai pencipta menerusi peralatan yang mereka bawa setiap hari,” katanya.
ARRI yang mempunyai pengalaman lebih seabad dalam industri perfileman telah membantu membentuk bahasa sinema, daripada era filem terdahulu hingga sistem kamera digital termaju hari ini.
Sumbangannya kepada industri turut diiktiraf menerusi 20 Anugerah Sains dan Teknikal daripada Academy of Motion Picture Arts and Sciences.
Kerjasama HONOR dan ARRI menggabungkan keupayaan pengimejan mudah alih HONOR, dengan kepakaran sains imej sinematik ARRI bagi membuka peluang kreatif baharu serta membawa elemen aliran kerja penerbitan filem profesional kepada generasi pencipta baharu.
Kedua-dua syarikat akan terus memperhalusi dan memajukan teknologi serta aliran kerja pengimejan bersepadu mereka berdasarkan pengesahan teknikal dan aplikasi dalam penerbitan filem sebenar.
Siri HONOR Magic9 yang dijadualkan dilancarkan terlebih dahulu di China pada akhir September ini turut menampilkan keupayaan pengimejan ARRI, sekali gus membawa pengalaman pengimejan sinematik bertaraf profesional kepada lebih ramai pengguna telefon pintar.
HONOR Robot Phone sebelum ini turut dipamerkan pada acara filem terkemuka dunia, termasuk Festival Filem Cannes ke-79, Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-28 dan Festival Filem Antarabangsa Venice ke-83.
Pembikin filem serta profesional industri mengiktiraf kematangan teknikal dan keupayaan bertaraf profesional peranti berkenaan, selain menyatakan minat terhadap inovasi lanjut dalam penerbitan filem menggunakan telefon pintar.
— GERBANGPOST
