
Jorge Martin tarik diri daripada GP Malaysia, fokus kini terarah ke Qatar
SEPANG,. Pelumba Aprilia Racing Jorge Martin kini mengalihkan tumpuan kepada Grand Prix Motosikal (MotoGP) Qatar minggu depan selepas terpaksa menarik diri daripada saingan GP Malaysia minggu ini susulan kecederaan pergelangan tangan.
Pelumba Sepanyol itu berkata meskipun proses pemulihannya menunjukkan perkembangan ketara, beliau masih belum mampu mengekalkan rentak tunggangan yang konsisten apabila kesakitan semakin dirasai selepas hanya satu pusingan ketika sesi latihan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Beliau berkata keputusan untuk tidak meneruskan perlumbaan dibuat bersama pasukan kerana tindakan memaksa diri boleh memburukkan kecederaan, lebih-lebih lagi satu lagi perlumbaan dijadualkan berlangsung minggu depan.
“Sasaran saya untuk beraksi di Qatar. Saya akan ke sana dan cuba sedaya upaya. Namun, jika keadaan yang sama masih dirasai, saya terpaksa tarik diri. Kita lihat bagaimana keadaan di Qatar nanti.
“Perkembangan saya sepanjang minggu ini amat luar biasa. Jika proses pemulihan berterusan pada kadar yang sama seperti minggu ini, saya mungkin akan pulih sehingga 80 peratus. Jadi, sekiranya saya mampu melengkapkan 20 pusingan, sudah tentu saya boleh meraih mata,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Juara dunia 2024 itu berkata beliau akan pulang untuk meneruskan proses pemulihan dengan mengikuti program terapi sama, yang telah membantunya mencapai perkembangan positif sepanjang minggu lepas.
Martin berkata pada awalnya beliau merasakan mampu berlumba, namun ketidakselesaan itu semakin mengganggu rentaknya selepas satu pusingan, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk mengekalkan prestasi.
“Selepas itu, saya mula mengalami kesakitan yang teruk. Saya tidak dapat mengekalkan prestasi secara konsisten, jadi selepas menilai catatan masa dan prestasi, kami memutuskan untuk berhenti dan cuba menunggu. Kami kemudian berpendapat ia terlalu berat untuk diteruskan, selain tidak akan mampu membuahkan hasil,” katanya.
Martin menamatkan sesi latihan bebas kedua hari ini di kedudukan tercorot dalam kalangan 21 pelumba selepas mencatat masa 2 minit 00.359 saat (s), ketinggalan 1.843s berbanding pelumba terpantas, Enea Bastianini daripada pasukan Red Bull KTM Tech3.
Bastianini muncul pelumba terpantas sesi berkenaan dengan catatan masa 1:58.516s, diikuti pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP Alex Marquez di tempat kedua dengan 1:58.804s, manakala rakan sepasukan Martin di Aprilia Racing, Marco Bezzecchi menduduki tempat ketiga dengan catatan 1:58.929s.
Walaupun kecewa, Martin berkata beliau berbangga dengan usahanya untuk kembali ke litar ketika masih dalam proses pemulihan, selain berjaya mencatat masa pusingan di bawah dua minit di Sepang.
“Sudah tentu saya akan meneruskan perjuangan ini, bukan hanya untuk diri sendiri kerana saya pernah bergelar juara, tetapi untuk pasukan dan semua yang menyokong saya,” katanya.
Beliau mengalami kecederaan itu selepas terjatuh ketika bersaing dengan pencabar kejuaraan Marc Marquez dalam perlumbaan Sprint di Phillip Island, Sabtu lepas.
Marquez kini mendahului carta kejuaraan dengan 365 mata, hanya 10 mata di depan Martin yang mengumpul 355 mata, manakala Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) berada di kedudukan ketiga dengan 315 mata.
— BERNAMA
