
PROGRAM LITERASI CUKAI BULAN HASIL 2026 LIBATKAN HAMPIR 300,000 PEMBAYAR CUKAI – CEO LHDN
KUALA LUMPUR,. Program literasi cukai yang dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sepanjang pelaksanaan Bulan HASiL 2026 telah melibatkan hampir 300,000 pembayar cukai di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata pelbagai program dianjurkan sepanjang Oktober bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai percukaian dan peranan agensi itu.
“Sepanjang tempoh ini, kita telah menjalankan beberapa aktiviti antaranya Jelajah Literasi HASiL menerusi 251 jelajah di seluruh negara untuk bertemu masyarakat dan menerangkan isu berhubung percukaian,” katanya pada sidang media sempena majlis penutupan Bulan HASiL 2026 di sini hari ini.
Bulan HASiL 2026 dilancarkan pada 1 Okt 2026 sebagai satu inisiatif yang membawa pendekatan lebih menyeluruh dalam mendekati masyarakat, memperkukuh literasi cukai serta memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat, bimbingan dan perkhidmatan berkaitan percukaian.
Abu Tariq berkata LHDN turut menerima hampir 50,000 maklum balas melalui kaji selidik bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai percukaian dan perkhidmatan yang disediakan agensi itu.
Beliau berkata maklum balas berkenaan merangkumi pandangan yang dikumpulkan pada tahun ini serta tahun-tahun sebelumnya.
Abu Tariq berkata antara fokus Bulan HASiL 2026 ialah mempromosikan program pengakuan sukarela bagi duti setem dan e-Invois.
“Program pengakuan sukarela bagi duti setem akan berakhir pada hujung tahun ini manakala program e-Invois akan berakhir pada hujung tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata LHDN turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai individu atau syarikat yang disyaki tidak melaporkan cukai dengan betul melalui platform e-Pelarian Cukai.
“Maklumat yang kita terima itu akan kita simpan sebagai satu kerahsiaan,” katanya.
— BERNAMA
