
Golongan muda disaran menabung di TH, jaga kesihatan untuk tunai haji awal
SERDANG,. Golongan muda dinasihatkan untuk membuat perancangan kewangan untuk menabung dalam Lembaga Tabung Haji (TH) dan menjaga kesihatan diri bagi persediaan menunaikan ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (gambar) berkata amalan menabung secara konsisten menjadi kunci untuk merealisasikan rukun Islam kelima itu pada usia muda.
“Saya berharap semoga semua pendeposit cakna mengenai ibadah haji, sekali gus berazam untuk terus menjaga kesihatan dan kekal sihat untuk menunaikan haji nanti.
“Paling penting, mulakan amalan menabung secara konsisten di TH bermula hari ini supaya dapat menunaikan haji semasa badan masih kuat dan bertenaga,” katanya ketika merasmikan TAHA RUN 2025 di sini, hari ini.
Program TaHa Fun Run 2025 yang bertemakan ‘Run For A Lifetime Journey’ disertai lebih 1,000 peserta berusia 18 hingga 25 tahun.
Larian itu merangkumi dua kategori iaitu tiga dan lima kilometer, bertujuan memupuk kesedaran mengenai tabiat menabung, perancangan kewangan serta gaya hidup sihat.
–BERNAMA
