
GLIC, GLC MANGKIN EKONOMI DOMESTIK MENERUSI PELABURAN TAMBAHAN RM120 BILION – AMIR HAMZAH
KUALA LUMPUR,. Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedang giat meningkatkan peranan dalam membangunkan ekonomi domestik, didorong oleh tambahan RM120 bilion di bawah inisiatif GEAR-uP bagi tempoh 2024-2028.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata lebih RM20 bilion telah dilaburkan pada 2025 dan jumlah sama dijangkakan pada pada 2026.
“Ini bermakna sasaran itu sedang diterjemahkan di peringkat lapangan. Bentuk pelaburan yang sedang diteliti dan perbincangan kita dengan GLIC juga adalah sejajar dengan aspirasi nasional,” kata beliau kepada pemberita di luar Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC 2026) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Amir Hamzah menyifatkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) berperanan sebagai panduan bagi pelaburan GLIC dalam sektor yang menjadi teras bagi melonjakkan ekonomi negara.
Pada masa sama, GLIC dan GLC turut menyokong usaha-usaha bagi meningkatkan had lantai (minimum) menerusi gaji lebih baik serta menaikkan had siling dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi, menarik pelaburan asing dan domestik berkualiti tinggi selain menambah jumlah pekerjaan lebih bermakna.
Amir Hamzah berkata lebih daripada 92 peratus GLC di bawah GLIC juga telah bertindak melaksanakan gaji wajar sejak awal tahun ini.
Langkah itu, kata beliau, menetapkan penanda aras baharu bagi sektor swasta dan sekali gus membuktikan kemampuan syarikat membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja apabila produktiviti negara meningkat.
“Adalah diharapkan kita dapat meneruskan usaha ini dan mendorongnya ke masa hadapan selain dapat mewujudkan persaingan dalam usaha mendapatkan kalangan bakat. Oleh itu, sektor swasta lain juga perlu memberi reaksi terhadap perkembangan ini,” katanya.
Beliau berkata GLC turut menyokong program-program kerajaan seperti Bakat MADANI yang menjadi penghubung siswazah universiti serta institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dengan peluang latihan industri serta latihan kemahiran menerusi rangkaian GLIC dan GLC.
Sejajar usaha itu, seramai 25,000 individu akan diberikan peluang berkenaan pada 2026 dan 2027 bagi membantu menyediakan kumpulan bakat Malaysia untuk menghadapi ekonomi yang makin kompleks, kata beliau.
Pelaburan GLIC turut disasarkan ke arah keutamaan negara, termasuk dalam menghadapi perubahan struktur negara menua melalui pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan dan tenaga kerja sebagai penjaga.
Amir Hamzah berkata Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) misalnya telah membuat pelaburan berkaitan perkampungan persaraan.
“Apa yang penting bagi GLIC dan GLC ini adalah untuk meneliti apakah keutamaan negara serta cuba mengenal pasti perkara yang relevan dengan agenda negara,” katanya.
— BERNAMA
