
FESTIVAL BUDAYA SELANGOR 2026 ANGKAT WARISAN TEMPATAN, PERKASA PELANCONGAN BUDAYA
TANJUNG SEPAT, Selangor, 22 Sept (Bernama) — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor telah menganjurkan Festival Budaya Selangor (FBS) dari 16 hingga 20 September 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor bersama YBrs. Encik Mohd Radzi bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah JKKN.
Festival Budaya Selangor siri ketiga yang berlangsung di Pantai Batu Laut mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan masyarakat di negeri Selangor. Penganjuran kali ini menampilkan irama Cempuling serta pelbagai persembahan tradisi yang diberi nafas baharu, di samping mengangkat keunikan seni dan budaya dari sembilan daerah di Selangor.
Kemuncak Majlis Perasmian diserikan dengan persembahan istimewa ‘Emas 9’ yang melibatkan seramai 100 peserta dalam mengetengahkan kekayaan dan kepelbagaian seni budaya di Selangor. Persembahan tersebut menggabungkan elemen muzik, tari, bahasa, busana dan adat resam dalam satu persembahan yang bertenaga.
Antara pengisian menarik yang disediakan sepanjang festival kali ini ialah Pasar Klasik, Floating Market @ Sand, Ghost Fun Run, Pertandingan Gema Cempuling, Pertandingan Wau Kapal, Futsal Kain Sarong, Pertandingan Sukan Rakyat, Pertandingan Senam Seni Pantai, Pertandingan Demonstrasi Silat dan Silambam di Pantai, Dapur Panas ‘Emas 9’, Pertandingan Tanglung, Pertandingan Karom Warrior, Pertandingan Marhaban, Pertandingan Tarian India, Pertandingan Masakan Tradisi, Aktiviti Kacau Dodol Malon, Laman Santai Family serta Perkampungan Budaya Campervan, selain pelbagai lagi aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Terdahulu, pengunjung turut disajikan dengan Konsert Malaysia Kita bersama Samudera bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2026, Konsert Nostalgia XPDC, Konsert Rakyat bersama Drama Band dan Artis Hits 90-an, selain persembahan naga elektronik, kuda kepang dan Wayang Kulit Jawa Selangor.
Festival ini turut menampilkan pameran interaktif daripada pelbagai agensi dan NGO Seni Budaya selain penyertaan 110 pengusaha dan 15 rakan penaja.
Menurut Encik Mohd Radzi bin Omar, seni dan budaya tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan yang berimpak tinggi.
“Melalui pemeliharaan warisan dan penglibatan komuniti, keunikan budaya Selangor dapat terus diperkenalkan kepada pelancong domestik dan antarabangsa, di samping menyumbang kepada kelestarian industri kreatif negara,” katanya.
Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200 Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my E-mel: [email protected]
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: Mysenibudaya
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Cik Nurfatin Fatini binti Norazlan
Penolong Pengarah
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 017-869 8807
E-mel: [email protected]
Nama: Puan Nurul Amira binti Norhasdi
Pegawai Kebudayaan
Unit Komunikasi Korporat
JKKN Selangor
Tel: 03-5543 1654
E-mel: [email protected]
–BERNAMA
