FAM mahu persatuan, kelab belia kreatif lahirkan pemain berkualiti

FAM mahu persatuan, kelab belia kreatif lahirkan pemain berkualiti

PETALING JAYA,. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyarankan persatuan serta kelab belia lebih kreatif dalam membantu pembangunan dari peringkat akar umbi bagi memastikan negara tidak ketandusan pemain berkualiti untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Mohd Firdaus Mohamed berkata negara tidak seharusnya terlalu bergantung kepada bakat di sekolah sukan atau Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam melahirkan bintang bola sepak.

“Pasukan perlu cari bukan setakat di sekolah tetapi cari di ceruk atau daerah sebab dulu pun kita pernah lahirkan pemain-pemain dari ceruk dan daerah. Kita dulu pernah lahirkan bakat dari ceruk daerah.

“Kita terpaksa mengharapkan sekolah sukan dan AMD tetapi kita tahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini, kita tak nampak peningkatan di peringkat antarabangsa. Zaman dulu tiada AMD atau sekolah sukan pasukan kita boleh menang dengan Thailand pun menang juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran bola sepak rasmi untuk kejohanan kendalian FAM di Wisma FAM di sini semalam.

Terdahulu, jenama antarabangsa terkenal dari Jerman iaitu Puma melalui Active Sports Centre kekal sebagai penaja bola perlawanan rasmi untuk empat pertandingan domestik anjuran FAM bagi musim kedua berturut-turut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )