COVID-19: KPKT pertimbang elaun tambahan kepada bomba

COVID-19: KPKT pertimbang elaun tambahan kepada bomba

MACHANG,. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan untuk memberi elaun tambahan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berikutan turut terlibat dalam penugasan COVID-19.

Menteri berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ini memandangkan skop penugasan anggota JBPM terutamanya Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) diperluaskan ketika ini seperti pengurusan serta pengebumian jenazah COVID-19 sekali gus mendedahkan mereka dengan risiko wabak itu.

“Pada asalnya, mereka sudah mempunyai elaun khas tetapi apabila berhadapan dengan tugas membabitkan COVID-19 seperti pengurusan serta pengebumian jenazah, ini sebenarnya bukan tugasan bomba.

“Namun, saya beranggapan bahawa perkara ini (elaun tambahan) boleh saya ketengahkan dan mempertimbangkannya kerana risiko yang dihadapi anggota bomba,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Belah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada KPKT bercadang untuk memberi elaun tambahan kepada anggota JBPM berikutan agensi keselamatan itu di seluruh Malaysia, banyak terlibat dalam pengurusan serta pengebumian jenazah COVID-19, pada ketika ini.

Turut hadir pada lawatan rasmi berkenaan ialah Pengarah JBPM Kelantan Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jainal @ Zainal Madasin yang menyambut baik maklum balas Zuraida berhubung elaun tambahan itu kerana ia mampu memberi motivasi serta penghargaan kepada anggota bomba.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )