EPMB, HEBEI SHICHANG TUBUH KILANG PEMBUATAN TANGKI BAHAN API PROTON BERNILAI RM100 JUTA

EPMB, HEBEI SHICHANG TUBUH KILANG PEMBUATAN TANGKI BAHAN API PROTON BERNILAI RM100 JUTA

KUALA LUMPUR,. EP Manufacturing Bhd (EPMB) memeterai usaha sama (JV) dengan Hebei Shichang Auto Parts Co Ltd, syarikat sistem bahan api yang disenaraikan di Beijing, untuk menubuhkan kilang pembuatan bernilai RM100 juta yang menumpukan kepada pengeluaran tangki bahan api termaju untuk Proton.

Dalam satu kenyataan hari ini, EPMB memaklumkan usaha sama itu akan menyokong inisiatif pengembangan Proton dan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan komponen yang mempunyai kandungan penyetempatan yang tinggi di Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk menjadi hab serantau terkemuka bagi pengeluaran dan eksport automotif.

Berikutan pemeteraian perjanjian itu, EP Shichang Automotive Systems Sdn Bhd akan ditubuhkan untuk melaksanakan usaha sama berkenaan dengan EPMB memiliki 51 peratus kepentingan manakala Hebei Shichang sebanyak 49 peratus.

Di bawah Fasa 1 usaha sama ini, EPMB dan Hebei Shichang akan membangunkan sebuah kemudahan pengeluaran tangki bahan api plastik di hab pembuatan EPMB di Batang Kali, Selangor, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 tangki bahan api setahun.

“Setelah kemudahan itu siap, ia akan mula membekalkan tangki bahan api kepada Proton di Tanjung Malim pada Mac 2027,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan EPMB Mohd Seth Sulaiman berkata usaha sama berkenaan akan meningkatkan keupayaan pembuatan tangki bahan api sedia ada syarikat melalui penggunaan teknologi yang lebih canggih, yang memenuhi keperluan Proton-Geely untuk pasaran domestik dan eksport.

“Dengan menggabungkan kepakaran teknologi Hebei Shichang dari China bersama keupayaan pembuatan dan rantaian bekalan kami, kami yakin dapat mencapai matlamat dalam pembaharuan teknologi, peningkatan keupayaan pembuatan dan mengekalkan kerelevanan perniagaan kami dalam jangka panjang,” tambah beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This