DIASPORA MELAYU ASET DIPLOMASI BUDAYA MALAYSIA – AARON

DIASPORA MELAYU ASET DIPLOMASI BUDAYA MALAYSIA – AARON

KUALA LUMPUR,. Diaspora Melayu perlu dimanfaatkan sebagai aset diplomasi budaya Malaysia bagi menghubungkan masyarakat merentasi sempadan melalui bahasa, seni, adat, makanan, agama dan sejarah Melayu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata Alam Melayu merupakan ruang peradaban luas yang berkembang melalui jaringan perdagangan, pelayaran, bahasa, agama dan kebudayaan, dengan warisannya turut ditemukan jauh di luar rantau ini.

“Jika diplomasi rasmi menghubungkan kerajaan, diplomasi budaya menghubungkan manusia,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Aaron berkata sehingga kini belum terdapat pangkalan data antarabangsa yang seragam dan komprehensif untuk merekodkan jumlah diaspora Melayu di seluruh dunia berdasarkan etnik.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang yang besar untuk kita memperkukuh dokumentasi, penyelidikan dan pemetaan diaspora Melayu secara lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata seminar itu bertujuan memperkukuh penyelidikan dan pertukaran ilmu mengenai diaspora Melayu, memperluas kerjasama antarabangsa serta memelihara bahasa, seni, adat dan warisan Melayu untuk generasi akan datang.

Aaron berkata JMM menerusi penganjuran seminar itu akan terus memperkukuh peranannya dalam penyelidikan, pengumpulan dan pemeliharaan sejarah, kebudayaan serta alam semula jadi negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM Mohamad Shawali Badi berkata Muzium Etnologi Dunia Melayu (MEDM) berpotensi menjadi pusat jaringan yang menghubungkan penyelidik, institusi muzium, institusi pendidikan, organisasi kebudayaan dan komuniti diaspora Melayu di dalam serta luar negara.

Beliau berkata jaringan itu diharapkan dapat memperkukuh perkongsian maklumat, kepakaran dan sumber berkaitan sejarah, mobiliti serta warisan masyarakat Melayu diaspora.

“Hasil pembentangan, perbincangan dan pertukaran ilmu menerusi seminar berkenaan diharap dapat diteruskan melalui dokumentasi, penyelidikan serta jaringan kerjasama yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Melayu Polinesia Sedunia Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkongsi hasil penyelidikannya mengenai diaspora Melayu, termasuk komuniti di Sri Lanka, Afrika Selatan dan Australia Barat.

Ketika membentangkan kajian mengenai masyarakat Melayu di Sri Lanka, Wan Hashim berkata komuniti berkenaan masih menggunakan bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa tempatan, namun penguasaan bahasa itu dalam kalangan generasi muda semakin merosot.

Seminar anjuran JMM menerusi MEDM itu menampilkan tujuh pembentangan kertas kerja oleh penyelidik dan ahli akademik dari dalam serta luar negara, merangkumi tiga tema utama, iaitu Sejarah dan Mobiliti; Politik, Ekonomi dan Sosial; serta Warisan, Seni dan Budaya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This