Dasar kesihatan mental di tempat kerja perlu jadi sebahagian tadbir urus korporat yang baik – Lee

Dasar kesihatan mental di tempat kerja perlu jadi sebahagian tadbir urus korporat yang baik – Lee

KUALA LUMPUR: Dasar kesihatan mental di tempat kerja perlu menjadi komponen teras dalam tadbir urus korporat yang baik serta amalan pekerjaan bertanggungjawab dalam sektor awam dan swasta, kata ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye (gambar).

Beliau berkata langkah itu bertepatan dengan peningkatan kesedaran bahawa kesihatan mental bukan lagi sekadar isu peribadi, sebaliknya menjadi tanggungjawab organisasi yang memberi kesan langsung terhadap produktiviti, keselamatan, kesejahteraan pekerja dan kejayaan organisasi.

Lee berkata persekitaran kerja yang mencabar, waktu bekerja yang panjang, beban tugas, tekanan kewangan, perubahan teknologi serta ketidakseimbangan antara kerjaya dan kehidupan telah menyumbang kepada peningkatan tahap tekanan, kebimbangan dan keletihan melampau (burnout) dalam kalangan pekerja.

“Jika tidak ditangani, ia boleh menyebabkan masalah tidak datang kerja, produktiviti menurun, kemalangan di tempat kerja, kurang bersemangat serta kadar pertukaran pekerja lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai respons terhadap cadangan Kementerian Kesihatan untuk membangunkan dasar kesihatan mental di tempat kerja.

Menurut Lee, mewujudkan dasar kesihatan mental di tempat kerja yang baik akan menyediakan organisasi satu rangka kerja jelas untuk menggalakkan kesejahteraan psikologi, mencegah masalah serta menyokong pekerja yang mungkin berdepan cabaran berkaitan kesihatan mental.

Dasar itu juga dapat membantu menghapuskan stigma, menggalakkan pekerja mendapatkan bantuan lebih awal serta memupuk budaya prihatin, saling menghormati dan inklusif.

“Majikan yang melabur dalam kesihatan mental sebenarnya melabur dalam aset paling berharga mereka, iaitu pekerja. Organisasi yang mempunyai persekitaran pekerjaan yang sihat dari segi mental akan menyumbang kepada tahap penglibatan pekerja lebih tinggi, kerja berpasukan lebih baik, peningkatan inovasi, kos penjagaan kesihatan lebih rendah serta prestasi keseluruhan yang lebih kukuh,” katanya.

Dasar yang menyeluruh itu perlu merangkumi program kesedaran dan pendidikan berkaitan kesihatan mental; latihan kepada pengurus bagi mengenal pasti tanda awal tekanan mental, serta memberikan tindak balas sewajarnya, selain akses kepada kaunseling sulit dan Program Bantuan Pekerja (EAP).

Dasar itu juga perlu mengambil kira langkah untuk mengurus tekanan di tempat kerja, beban kerja dan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan; perlindungan daripada dibuli, gangguan dan diskriminasi, serta prosedur jelas bagi membantu pekerja yang kembali bekerja selepas mengambil cuti berkaitan kesihatan mental.

“Kesejahteraan mental perlu diberi kepentingan yang sama seperti keselamatan dan kesihatan fizikal. Sama seperti organisasi mempunyai dasar untuk mencegah kecederaan di tempat kerja, mereka juga perlu mempunyai dasar yang melindungi kesihatan psikologi pekerja,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementerian itu sedang membangunkan dasar kesihatan mental di tempat kerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan harmoni di bawah pelan tindakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.

SUMBER;

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This