COVID-19: Kes baharu kembali lonjak kepada tiga angka semalam

COVID-19: Kes baharu kembali lonjak kepada tiga angka semalam

KUALA LUMPUR,. Kes baharu COVID-19 kembali melonjak kepada tiga angka pada 111 kes, melibatkan 107 kes penularan tempatan serta empat kes import dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul wabak tersebut berjumlah 10,687 dengan 133 kematian.

Katanya, kes penularan tempatan melibatkan 76 rakyat Malaysia dan 31 warga asing, dan Sabah masih menjadi penyumbang kepada majoriti kes iaitu sebanyak 97 berbanding 63 kes dilaporkan semalam.

“Daripada 97 kes yang berlaku di Sabah, 74 kes daripada kluster Bangau-Bangau, 13 kes daripada Kluster Benteng LD, dua kes daripada Kluster Laut, dua kes saringan rujukan ke hospital, dua kes saringan di tempat kerja, dua kes saringan bergejala, satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Tawau dan satu kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa.

“Sepuluh lagi kes penularan tempatan melibatkan lapan kes di Kedah, iaitu tujuh daripada Kluster Sungai dan satu kes SARI di Hospital Sultanah Bahiyah, manakala Pahang dan Selangor masing-masing mencatatkan satu kes saringan bergejala mempunyai sejarah pulang dari Semporna dan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara adalah melibatkan bukan warganegara iaitu dari Indonesia (dua kes), India (satu) dan Singapura (satu).
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 30 kes telah pulih hari ini, manakala empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengingatkan individu bergejala yang baharu mengunjungi atau datang dari zon merah, wajib melakukan ujian saringan COVID-19 manakala individu tidak bergejala yang baharu mengunjungi atau datang dari zon merah digalakkan melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri.

“Sebarang perubahan kepada arahan ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. Elakkan mempercayai dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa terdapat 10 kes yang dikesan positif COVID-19 setelah kembali dari Sabah pada Minggu Epid ke-39 (20 Sept hingga hari ini) dan kesemua mereka telah diasingkan serta mendapat rawatan di hospital.

Sehingga hari ini, terdapat lima kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah iaitu empat zon merah di Sabah (Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna) dan satu zon merah di Kedah (Kota Setar).

Dr Noor Hisham menggesa semua masyarakat di Sabah agar lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuk ketika tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sabah dan semasa hari mengundi.

“Masyarakat sangat digalakkan untuk saling bertegur antara satu sama lain dalam mematuhi SOP, agar kita dapat saling melindungi diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita daripada jangkitan COVID-19.

“KKM menggalakkan masyarakat untuk keluar mengundi namun dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan di pusat mengundi dan amalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat,” katanya.

Katanya, KKM akan terus meningkatkan kesiapsagaan di lapangan, klinik, makmal dan hospital bagi terus berusaha membendung penularan COVID-19 di Sabah.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )