Perjalanan percuma untuk pemegang pas OKU Smile bermula Februari
KUALA LUMPUR,. Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan pas langganan OKU Smile khusus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) menikmati tambang percuma bermula Februari ini.
Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata pengaktifan dan langganan pas OKU Smile akan bermula esok bagi semua pemegang kad konsesi OKU Prasarana sedia ada dan pemohon baharu.
“Prasarana juga akan mengadakan siri jelajah ke beberapa persatuan OKU bagi memberi penerangan berkaitan produk ini. Kaunter pendaftaran bergerak juga akan dibuka untuk memudahkan golongan ini memohon kad OKU Prasarana sepanjang siri jelajah tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pengenalan inisiatif tersebut susulan pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 21 Dis lepas mengenai insentif tambang percuma untuk komuniti OKU bagi semua perkhidmatan rel dan bas kendalian agensi itu.
Maklumat berkaitan pas OKU Smile boleh didapati di laman sesawang www.myrapid.com.my atau di platform media sosial Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
Pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL 03-78852585; Rapid Penang 04-255 8000 atau Rapid Kuantan 09-5663686/019-3858607 bagi sebarang pertanyaan.
— BERNAMA